Pengurusan sistematik bantu percepat pembersihan sampah pasca banjir

Iklan
Sze Han meminjau keadaan operasi TS Seksyen 21, Shah Alam.

SHAH ALAM - Operasi stesen pemindahan sementara (TS) sampah pukal membantu Kerajaan Negeri Selangor menguruskan sampah pasca banjir secara lebih sistematik.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, lebih 18,000 tan sampah banjir telah dikutip dan diuruskan oleh agensi dan anak syarikat kerajaan Selangor sejak seminggu lalu.

Iklan
Iklan

"Sampah sebanyak itu tidak mungkin dapat dibersihkan tanpa pengenalan tapak 11 TS yang beroperasi di lokasi terjejas banjir.

"TS Seksyen 21 (TS21) yang dioperasikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerima sampah banjir dari seluruh kawasan Shah Alam.

Iklan

"Semasa lawatan ke TS21 pada Rabu, saya sempat bertemu dengan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan yang secara kebetulan hadir meninjau operasi di sini.

"Kami sependapat bahawa hal pembersihan sampah banjir ini perlu dokongan semua pihak sama ada kerajaan mahupun orang ramai," katanya menerusi kemas kini di Facebook pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, lori persendirian dibenarkan dan digalakkan menghantar sampah banjir di TS disediakan.

"Tiada bayaran dikenakan di mana-mana 11 TS yang dizonkan untuk sampah banjir ini," katanya.

Senarai TS disediakan dalam Bandaraya Shah Alam adalah Seksyen 21, Seksyen 34, Seksyen 25 dan Kampong Lombong, manakala Majlis Perbandaran Kajang (Sungai Lui, Batu 14 Hulu Langat, Nanding), Majlis Perbandaran Sepang (Taman Emas Dengkil, Taman Lestari Mewah, Business Park di Bandar Baru Salak Tinggi) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (Bukit Lanchong).