Kes buli pelajar MRSM: Kertas siasatan sudah dihantar ke Bukit Aman

Iklan
Lima pelajar dibawa ke mahkamah untuk proses tahanan reman pada 16 Disember lalu bagi membantu siasatan berhubung kes buli di MRSM Muar.

JOHOR BAHRU - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sudah menghantar kertas siasatan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-​Undang (D5) Bukit Aman berhubung kejadian buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar baru-baru ini

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kertas siasatan melibatkan lima pelajar Tingkatan Empat MRSM tersebut yang sudah lengkap dan ketika ini hanya menunggu arahan lanjut dari Bukit Aman.

Iklan
Iklan

"Kes ini dirujuk ke Bukit Aman setelah ia menjadi satu kes yang mempunyai kepentingan awam.

"Ketika ini masih tiada sebarang tindakan pertuduhan dikenakan terhadap mereka selepas tempoh tahanan reman tamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di IPK Johor di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan isterinya yang juga Pengerusi Perkep Johor, Datin Zalena Mohd Ariffin.

Pada 16 Disember lalu, lima pelajar berkenaan direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian buli terhadap seorang mangsa berusia 14 tahun yang mengalami kecederaan bengkak pada rusuk kiri.

Iklan

Kelima-lima mereka sebelum itu ditahan di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Zaharudin berkata, siasatan dijalankan hanya melibatkan lima pelajar berkenaan dan tidak melibatkan individu atau pelajar lain.

"Lima pelajar tersebut merupakan wakil pelajar yang dilantik pihak sekolah dan kejadian dipercayai berpunca akibat ketidakpuasan hati antara suspek dan mangsa.

"Ketika ini saya tidak dapat mengesahkan tindakan yang diambil pihak sekolah terhadap mereka kerana sesi persekolahan ketika ini sedang bercuti," ujarnya.