KUANTAN - Sebanyak 94 peratus daripada 571 struktur komunikasi di Pahang yang terjejas perkhidmatannya akibat banjir telah dipulihkan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, bakinya sekitar enam peratus lagi sedang diproses dan dijangka kembali beroperasi dalam masa terdekat selepas dipulihkan oleh penyedia perkhidmatan di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi (SKMM).
Iklan
Iklan
Menurutnya, perkhidmatan telekomunikasi di Pahang terganggu apabila struktur pemancar ditenggelami banjir menyebabkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan sementara bekalan elektrik sehingga air banjir surut.
"Bagi lokasi yang tenggelam, pihak telekomunikasi menggantikan peralatan elektronik yang rosak dengan yang baru serta menghantar genset sebagai bekalan tenaga elektrik.
"Langkah itu terpaksa diambil buat sementara waktu bagi memastikan sistem komunikasi dapat diaktifkan dengan segera untuk kepentingan rakyat. Kerja- kerja pembaikan ini bukan sahaja dilakukan SKMM, tetapi turut dibantu Kerajaan Negeri Pahang, syarikat Telco, TNB dan pelbagai agensi lain," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.
Katanya, maklumat terkini berhubung kerja pembersihan struktur komunikasi di Pahang disalurkan oleh Pengarah SKMM Pahang, Mohd Faisal Md Nor dari semasa ke semasa.
Mohammad Fakhruddin berharap semua penduduk yang mengalami gangguan komunikasi termasuk internet bersabar.