'Lelaki naik kereta mewah itu bukan anak saya'

Iklan
Video seorang lelaki mirip wajah Muhammad Sanusi menaiki kereta mewah yang tular di Facebook sejak Khamis.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan video seorang lelaki mirip wajahnya menaiki kereta mewah yang tular di Facebook sejak Khamis bukan anak lelakinya.

Menurutnya, seorang individu memuat naik video berkenaan dengan mendakwa lelaki yang sedang mempromosi pertandingan memancing itu adalah anak beliau.

Iklan
Iklan

Bagi menepis dakwaan terbabit, Muhammad Sanusi turut memuat naik gambar keluarga beliau yang dirakamkan pada tahun ini di Facebook miliknya.

"Ada juga orang percaya paparan yang tidak masuk akal itu, yang dimuat naik di Facebook. Mungkin individu itu gunakan akaun palsu untuk menimbulkan fitnah terhadap saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, apa yang dilakukan individu berkenaan dengan menyebarkan fitnah tersebut telah dicatat oleh malaikat.

Muhammad Sanusi bersama ahli keluarganya, yang dirakamkan pada tahun ini.

"Malaikat Raqib dan Atid di kiri kanan yang kerja mereka mencatat setiap dosa dan pahala, tetap kenal dia siapa,” katanya lagi.

Iklan

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan beliau hanya mempunyai seorang anak lelaki berusia 19 tahun, serta empat anak perempuan.

"Anak lelaki saya orangnya kurus saja, tak macam bapa dia,” katanya dengan nada seloroh.

Muhammad Sanusi turut memuat naik penjelasan menafikan mempunyai kaitan dengan lelaki yang tular berkenaan di Facebook miliknya bagi mengelak fitnah berkenaan terus berleluasa.

Paparan berkenaan turut dikongsi ramai netizen, yang mana sebahagian menyarankan Muhammad Sanusi agar mengambil tindakan perundangan sebagai pengajaran bagi mengelak perkara seumpama berulang.