GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak menganjurkan sambutan Tahun Baharu 2022 yang akan disambut pada malam Jumaat dengan memasang bunga api.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih berdegil dengan berbuat demikian.
Menurutnya, orang awam diminta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ternampak atau mengetahui mana-mana pihak berbuat demikian.
"Mereka yang ternampak, diminta supaya mengambil gambar dan memberi maklumat kepada polis.
"Bukan sahaja gambar, termasuk lokasi pemasangan bunga api itu sekali. Ia bagi memudahkan polis mengambil tindakan selanjutnya," kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat Ops Ambang Tahun Baharu 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut menerima permohonan daripada beberapa hotel dan syarikat untuk membuat pertunjukkan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2022 ini.
"Bagi menghormati mereka yang ditimpa bencana banjir di beberapa negeri yang dilanda banjir, adalah lebih elok kita tidak menyambut sambutan Tahun Baharu pada malam ini.
"Kita faham, setelah sekian lama kita tidak menyambutnya kerana pandemik Covid-19, mereka ingin menyambut Tahun Baharu, cuma kebetulan pula berlaku banjir.
"Oleh sebab itu, kerajaan mengambil ketetapan agar tidak menyambutnya. Kita hormati satu sama lain dan itu lah kehidupan rakyat Malaysia yang saling hormat menghormati," ujarnya.
Pada Khamis, Polis Pulau Pinang menegaskan sambutan Tahun Baharu yang berskala besar di tempat terbuka seperti di padang awam dan mana-mana kawasan terbuka adalah dilarang sama sekali.
Bagaimanapun, hanya sambutan Tahun Baharu berskala kecil di tempat tertutup dan boleh dikawal penjarakan fizikal dibenarkan dijalankan.
Polis akan mengadakan operasi secara 'omnipresence' yang melibatkan semua jabatan pada malam Jumaat untuk memastikan arahan serta prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi semua pihak.
Seramai 146 pegawai dan 821 anggota akan ditugaskan sepanjang operasi tersebut bagi memastikan keselamatan awam terjaga.