JELI - Masyarakat perlu terus berwaspada, jangan sesekali leka walaupun hampir semua negeri sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun Kelantan dan Sarawak akan beralih ke Fasa Empat PPN Isnin ini, ia bukanlah kemenangan sebenar untuk melawan Covid-19.
"Tahniah kepada Kelantan dan Sarawak, namun harus berhati-hati dan berwaspada, jangan sesekali kita alpa sebab sekarang ini sebagaimana semua tahu kita ada virus baharu iaitu Omicron.
"Jumlah kes juga masih tinggi di seluruh negara. Prosedur operasi standard (SOP) untuk menghindari jangkitan Covid-19 masih perlu dipatuhi.
"Perubahan ke Fasa Empat bukanlah mengatakan kita sudah merdeka. Jadikan pengajaran dengan negara-negara luar yang lain, mungkin juga boleh berlaku pada negara kita, perlu berwaspada,"katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau sebelum itu hadir meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan bersetuju Sarawak dan Kelantan beralih ke Fasa Empat PPN Isnin ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dengan peralihan di kedua-dua negeri berkenaan dari Fasa Tiga sebelum ini, ia bermakna seluruh negara kini berada di Fasa Empat PPN.