JELI - Meskipun terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir gelombang kedua kali ini, namun itu bukanlah kerisauan sebenar buat seorang ibu tunggal di Kampung Ayer Lanas, di sini.
Sebaliknya, Zizah Ahmad, 70, berkata, dia perlu memastikan keselamatan ibu, adik dan adik iparnya terjaga rapi memandangkan masing-masing berdepan penyakit kronik, selain perlu mengemas rumah sebelum berpindah.
Katanya, dia telah membuat persiapan awal dengan memindah barangan elektrik ke tempat lebih tinggi bagi memastikan pengalaman air naik mendadak pada 2019 tidak berlaku lagi sehingga menyebabkan kediamannya hanya kelihatan bumbung sahaja.
"Pada tahun 2019 sebelum ini air naik sampai bumbung rumah. Namun itu tidak merisaukan saya sebaliknya bimbang keselamatan ibu saya, Bidah Konok yang kini berusia 92 tahun dan uzur selain adik saya, Alimah Ahmad, 59, yang menghidap kanser payudara tahap empat.
"Tambahan lagi adik ipar saya iaitu suami Alimah turut mengalami sakit angin ahmar, jadi saya tiada tempat untuk bergantung jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Oleh sebab itu jika berlaku banjir, saya akan pastikan mereka yang menjadi keutamaan," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas selepas kunjungan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Kongsinya lagi, sejak seminggu lalu, dia hanya tidur dua hingga tiga jam sahaja setiap malam untuk memantau keadaan air agar tidak melimpah ke dalam rumah selain ubat-ubatan ibu dan adiknya tersimpan rapi.
Katanya, pengalaman berdepan banjir bukanlah satu perkara asing baginya, namun apa yang perlu diberikan tumpuan ialah kesihatan mereka dibawah jagaannya.
"Saya berharap banjir kali ini tidaklah sebesar yang dijangka. Apa pun kita perlu banyak berdoa semoga semua urusan dipermudahkan ALLAH SWT sepanjang masa sama ada berada di rumah atau pun di PPS," ujarnya.