PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Enam akan menghadiri pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran pada penggal tiga sesi persekolahan 2021/2022.
Menerusi kenyataan pada Jumaat, KPM memaklumkan, kesemua murid di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.
"MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan PPKI juga hadir secara bersemuka tanpa penggiliran," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Murid kelas peralihan, Tingkatan Empat, Lima, Enam, pra universiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara turut hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan kumpulan murid tersebut di institusi berkenaan telah mencapai 90 peratus atau lebih.
"Pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih, kekal secara penggiliran. Senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan oleh KPM pada setiap hari Rabu.
"Mana- mana institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya tanpa penggiliran," maklum kenyataan itu.
Sekolah harian dan sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang daripada 300 murid beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.
Namun, bagi sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya.
"KPM akan membuat penilaian sebelum kelulusan diberikan," kata kenyataan itu.
Turut menghadiri pembelajaran secara bersemuka adalah pelajar sekolah berasrama penuh Tingkatan Empat, Lima, Enam, pra-universiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara.
"Pengoperasian Kolej Vokasional bagi murid Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasionaldan Diploma Vokasional Malaysia adalah secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Januari 2022," katanya.
Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Februari depan,= mengikut kalendar akademik yang sedang berkuatkuasa.
"Pelajar KM dan IPG yang telah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej dan kampus, selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi 3.0," kata KPM.
Tambah KPM, murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai.
Selain itu, sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantaranak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.
"Ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod," kata KPM.
Mengulas lanjut, KPM menetapkan murid Tahun Tiga, Empat dan Lima sekolah rendah hadir secara penggiliran.
Turut hadir secara penggiliran, pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga di sekolah menengah harian.
"Pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga sekolah berasrama sepenuhnya akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di
rumah (PdPR)," menurut KPM.
Tambah KPM, dalam pada itu pihaknya akan terus memantau dan mengemaskini senarai institusi pendidikan yang terkesan akibat banjir atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat akan dimaklumkan pada Isnin depan setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.
"KPM juga menyarankan ketetapan pengoperasian pendidikan ini terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM," kata KPM.