KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap Tahun Baharu 2022 menjadi tahun kebangkitan bagi Terengganu dan rakyat negeri itu.
Beliau berkata, beberapa strategi telah dirangka bagi memulihkan ekonomi rakyat dan negeri serta memastikan ia dapat memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat.
"Besar harapan saya dan pimpinan kerajaan negeri untuk melihat negeri kita dan rakyat Terengganu bangkit semula untuk tahun mendatang.
"Oleh itu, kerajaan negeri telah mengumumkan 147 inisiatif melalui Belanjawan Terengganu 2022 yang bertemakan 'Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua' bagi menyokong kelangsungan hidup rakyat," katanya dalam kenyataan rasmi di media sosial Facebook miliknya pada Jumaat.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga sedang berusaha merealisasikan baki dua daripada 20 manifesto yang diumumkan kerajaan Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
"Doakan agar kepimpinan negeri sentiasa diberikan petunjuk oleh ALLAH SWT untuk terus memikul amanah dan tanggungjawab ini sebaiknya," ujarnya.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata, baki dua manifesto yang belum dilaksanakan ialah pembangunan bandar baharu lestari dan pembinaan institusi pengajian tinggi (IPT) Islam negeri.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menzahirkan rasa dukacita susulan penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu serta bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini.
"Setelah melalui pelbagai fasa suka duka, pahit getir tahun 2021, sekali lagi kita diberi peluang untuk menempuhi gerbang 2022, menandakan satu lagi fasa baharu akan bermula.
"Tahun 2021 bakal menjadi sejarah, namun sejarah bukanlah nostalgia tetapi ia adalah suatu pelajaran untuk kita mempersiapkan masa depan yang lebih baik," ujarnya.