KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sokongannya dan mengajak rakyat berhimpun secara aman pada 8 Disember ini.
Menurutnya, himpunan tersebut wajar diberikan sokongan oleh semua pihak dalam menunjukkan kesatuan dan kesungguhan rakyat mempertahankan Perlembagaan negara.
Iklan
Iklan
"Perhimpunan aman pada 8 Disember ini dianjurkan Sekretariat Kedaulatan Negara ini wajar diberi sokongan tak berbelah bahagi.
"Ini hak kita untuk berhimpun dalam menunjukkan kesatuan kita, kesungguhan kita, betapa kedaulatan perlembagaan tak usahlah dicabar,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.
Pada masa sama, Najib turut mengingatkan kepada semua pihak yang akan terlibat supaya memastikan himpunan tersebut berjalan dengan aman tanpa terlalu mengikut perasaan.
"Saya harap perhimpunan aman ini bertunjangkan kepada keharmonian dan aman serta sentiasa patuh kepada undang-undang dan usahlah kita terikut perasaan dalam kita memperdengarkan suara kita.
"Tunjukkan kepada mereka, kita adalah kumpulan berhemah dan kukuh dalam menyatakan kesatuan kita. Berhimpunlah secara aman, berhemah namun terpahat sebagai satu perhimpunan ummah yang gemilang,” katanya.