KOTA MARUDU - Hujan berterusan sejak awal pagi menyebabkan beberapa kampung di daerah ini dinaiki air dan seramai 73 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah Kota Marudu, Rayner Saimon berkata, pemindahan setakat ini melibatkan 17 keluarga dari Kampung Beliajung.
"Setakat jam 7 malam ini, keadaan Sungai Bandau dan Sungai Bongon berada di bawah paras waspada selain keadaan cuaca hujan berterusan ketika ini.
"Sebanyak enam kampung terjejas berikutan hujan berterusan sejak awal pagi bagaimanapun mangsa yang dipindahkan ketika ini hanya melibatkan penduduk dari Kampung Beliajung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Rayner bagaimanapun berkata, sebuah lagi PPS turut dibuka iaitu di Dewan SK Teratipan sebagai persediaan untuk menempatkan mangsa banjir yang dijangka akan bertambah.
"Operasi menyelamatkan serta memindahkan mangsa sedang dilakukan dan dijangka jumlah mangsa akan bertambah.
"Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sedang membuat pemantauan di kampung-kampung yang di naiki air," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong mengisytiharkan bahawa banjir gelombang kedua berlaku di daerah ini.
"Ia disahkan berikutan paras air mencecah paras bahaya di kawasan Kampung Beliajung bermula jam 6.15 petang tadi.
"Saya mengarahkah agar operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa di lapangan dilakukan segera manakala PPS dibuka serta-merta," katanya dalam satu kenyataaan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana (Banjir) Daerah Kota Marudu berkata, Bilik Gerakan Bencana Daerah Kota Marudu turut dibuka dan semua petugas jabatan diminta bertugas sebagaimana jadual yang telah ditetapkan.
"Semua PPS dibenarkan dibuka sesuai situasi dari laporan di lapangan. Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Banjir (Kota Marudu) sudah diaktifkan sebelum ini dan ia secara rasminya digerakkan sepenuhnya," ujarnya.