KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memandang serius insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor dan meminta agensi berkaitan memantau pengendalian sisa industri di negeri ini.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejadian yang berlaku perlu diambil sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua pihak lebih berhati-hati terutamanya apabila melibatkan penjagaan alam sekitar dan kepentingan masyarakat.
"Kita minta semua agensi terlibat memantau perkembangan di Terengganu, terutamanya di kawasan industri untuk mengelakkan perkara ini berlaku. Jangan ambil mudah dan kita kena lihat pada prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai negara maju yang sangat ketat apabila melibatkan pengendalian bahan kimia.
"Sebab itu kita tekankan benda yang sama di Terengganu kerana kita mempunyai kawasan industri berat serta industri minyak dan gas yang besar. Saya sudah maklumkan agar mereka mengambil langkah proaktif untuk menghalang perkara ini daripada berlaku di Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Permuafakatan Akademik, Penetapan Target PT3, SPM dan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-24 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini, hari ini.
Jelasnya, setakat ini sungai-sungai di negeri ini dalam keadaan baik dan Jabatan Alam Sekitar sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
Pencemaran bahan kimia beracun yang dikesan di Sungai Kim Kim sejak Khamis minggu lalu semakin merebak sehingga menjejaskan kehidupan penduduk yang berada dalam radius 15km dari lokasi punca bencana.
Kejadian itu menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan penutupan semua sekolah di Pasir Gudang serta-merta kerana pencemaran bahan kimia itu mencetuskan situasi bahaya kepada kanak-kanak.