MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) komited dalam menghasilkan bakat-bakat baharu yang mampu mengharumkan lagi nama negara di pentas dunia untuk 2022, selepas mempamerkan persembahan yang cemerlang pada temasya Paralimpik Tokyo 2020.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha mencari alternatif lain supaya misi tersebut dapat dicapai meskipun mengakui pemotongan dana dari pihak kerajaan akan memberi kesan terhadap misi tersebut.
"Saya tahu peruntukan dana untuk sukan sedikit berkurangan kerana kerajaan ketika ini memerlukan dana yang besar untuk memulihkan negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain bencana banjir yang melanda negara ketika ini.
"Sebab saya lihat atlet-atlet paralimpik yang ada ketika ini adalah best among the best dan saya percaya kita mampu untuk melahirkan lebih ramai atlet paralimpik yang berbakat.
"Insya-ALLAH dengan dana yang sedikit ini dengan bantuan dari pelbagai pihak akan digunakan sebaiknya oleh MPM untuk memajukan lagi sukan paralimpik supaya nama negara sentiasa harum di persada antarabangsa,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Ketika diminta mengulas prestasi atlet Paralimpik sepanjang 2021, Megat Shahriman mengakui berbangga dengan pencapaian dilakar terutamanya di Paralimpik Tokyo 2020.
Meskipun persiapan atlet sedikit terganggu susulan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, namun atlet-atlet masih mampu untuk mengekalkan baik pada kejohanan paralimpik Tokyo mahupun kejohanan-kejohanan lain yang disertai mereka.
Jelasnya, beliau percaya sekiranya pandemik Covid-19 reda kelak, atlet-atlet paralimpik mampu menghadiahkan lebih banyak pingat dan kejayaan yang akan mengharumkan nama negara di persada dunia.
"Saya sangat bangga, gembira, dan terharu dengan pencapaian atlet paralimpik sepanjang tahun 2021. Meskipun berdepan pandemik covid-19 mereka masih boleh beraksi dengan baik apabila peroleh tiga emas dan dua perak selain beberapa pencapaian antarabangsa yang lain.
"Mereka telah membuktikan kepada kita bahawa mereka juga mampu untuk mengharumkan nama negara di persada dunia sama seperti orang normal meskipun mempunyai sedikit perbezaan dari segi keupayaan,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas dan satu perak pada temasya Paralimpik Tokyo 2020.
Tiga pingat emas itu disumbangkan oleh atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou dan jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly manakala pingat perak pula diraih atlet powerlifting, Jong Yee Khie dan Chew Wei Lun dari sukan boccia.