SHAH ALAM - Dua rakan tekad berulang-alik dari Kampung Tengah, Puchong, Selangor ke atas bukit bersebelahan Sungai Klang dengan menggunakan jengkaut untuk menyelamatkan penduduk daripada banjir baru-baru ini.
Yusnizam Marjoni, 44, mula menjalankan misi menyelamatkan penduduk di Lorong 2 bermula jam 6.30 petang pada Sabtu lalu, manakala rakannya, Mohd Habib Mohd Domiran, 34 di Lorong 1, 3 dan 4 Kampung Tengah.
Yusnizam berkata, mereka cuba menyelamatkan penduduk kampung antaranya warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk membawa mereka keluar ke atas bukit di tepi Sungai Klang.
"Masa nak tolong orang kampung, saya tak fikir berapa jauh atau berapa kali kena ulang-alik, cuma fikir nak selamatkan nyawa mereka sahaja.
"Apabila air mula naik, saya risau akan keselamatan keluarga. Jadi, berbekalkan apa yang ada, saya gunakannya untuk selamatkan mereka dan orang kampung.
"Bayangkan orang tua mana mampu nak redah air yang dalam, jadi kita terpaksa keluarkan mereka sebelum perkara tidak diingini berlaku. Kalau mereka mati, saya turut rasa bersalah.
"Masa itu bot penyelamat belum sampai lagi dan kita tidak boleh tunggu. Jadi saya tekad selamatkan keluarga dan orang kampung dengan menggunakan jengkaut ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Yusnizam menjelaskan, dia terpaksa menghentikan dahulu operasi menyelamat sekitar jam 1 pagi susulan air semakin naik hingga mencecah paras leher dan jengkaut juga susah untuk bergerak ketika itu.
Tambahnya, lebih kurang jam 4 pagi dia meminta bantuan adiknya untuk meminjam jengkaut syarikat tempatnya bekerja untuk membawa lebih ramai penduduk kampung keluar dari kawasan banjir.
"Kalau dia tak tolong bawa lebih banyak jengkaut, kita sendiri tak mampu selamatkan orang kampung," jelasnya.
Kongsinya, antara pengalaman mencabar sepanjang misi menyelamat adalah ketika membawa keluar seorang warga Indonesia yang patah kaki dan sukar bergerak.
"Saya dan adik ipar bantu keluarkan dia dan isteri bersama seorang anaknya untuk membawa mereka masuk ke dalam pengaut. Jika tidak, dia mungkin akan dihanyutkan arus deras ketika itu," ujarnya.