KUANTAN - Hasrat seorang tukang rumah membeli kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Vellfire terpakai dengan harga murah tidak kesampaian malah kerugian RM50,160 selepas diperdaya oleh ejen penjualan kereta tidak wujud di Facebook.
Mangsa berusia 49 tahun berminat membeli kenderaan itu selepas melihat iklan penjualan kereta murah di laman sosial Facebook ketika berada di rumah Kempadang Perdana pada Ogos lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi seorang lelaki yang dikenali Mr Ng bagi urusan pembelian kenderaan itu.
"Mangsa bersetuju dengan tawaran harga RM24,000 yang dimaklumkan dan meminta suspek segera memproses urusan pembelian itu.
"Susulan itu, suspek meminta menyerah salinan kad pengenalan bagi urusan pembelian dan perlu segera membuat pembayaran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa kemudian telah membuat pembayaran melalui pemindahan secara dalam talian sebanyak 10 kali ke dalam tiga akaun berbeza bermula dari 2 hingga 11 Ogos lalu.
Jelasnya, selepas membuat pembayaran tersebut, suspek telah memberikan pelbagai alasan sehingga menyebabkan mangsa ingin membatalkan pembelian tersebut.
Tambah Mohd Wazir, suspek berjanji akan mengembalikan wang tersebut, namun akhirnya mangsa gagal menghubungi suspek.
"Mangsa merasa dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan pada Jumaat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.