PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte meminta agar peminat Spurs bersabar dan tidak mengharapkan kelab tersebut dapat kembali ke kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dalam tempoh terdekat.
Menurut jurulatih kelahiran Itali itu, meskipun Spurs beraksi baik kebelakangan ini, namun dia masih menganggap misi tersebut agak sukar untuk dicapai memandangkan dirinya masih baru mengambil alih kelab tersebut selain hanya mempunyai satu jendela perpindahan untuk membawa pemain-pemain berkualiti.
"Sejujurnya, saya telah berada dalam bola sepak selama bertahun-tahun dan ia memerlukan masa yang agak lama untuk satu pasukan itu kembali bersaing di Liga Juara-Juara dan bukannya dua atau tiga bulan dan satu jendela perpindahan.
"Sebab ketika ini ada pasukan yang sudah melakukan persiapan yang rapi dan lebih lama berbanding Spurs. Malah kita juga perlu bersaing dengan empat pasukan besar yang sentiasa menjadi pilihan untuk menyertai saingan itu.
"Dengan sekarang saya hanya ada satu jendela perpindahan, jadi bukan senang untuk saya melakukan perubahan. Bola sepak adalah sukan yang rumit dan ia bukan hanya tentang wang.
"Tetapi saya mahu memberitahu peminat, bahawa pasukan ini akan kembali ke kancah saingan tertinggi eropah itu,” katanya.
Untuk rekod, pasukan Lilywhites kembali mendapat rentak sejak dikendalikan oleh Conte, apabila bekas ketua jurulatih Inter Milan itu menjadi pengurus pertama dalam sejarah kelab yang kekal tidak tewas dalam tujuh perlawanan liga pertamanya sebagai pengurus.
Keputusan tanpa kalah yang diraih Spurs itu meletakkan pasukan itu kini berada di tangga ketujuh, hanya lima mata di belakang pasukan tangga keempat Arsenal dengan memiliki kelebihan dua perlawanan.