Kedah siap sedia hadapi risiko banjir: Menteri Besar

Iklan
Muhammad Sanusi (empat kanan) bergambar bersama pemenang cabutan bertuah sempena Program Kayuhan Santai Keluarga Sejahtera Bersama MB Kedah di Dataran Zero Kilometer, di sini pada Sabtu.

SUNGAI PETANI - Kerajaan Negeri Kedah bersiap sedia menghadapi sebarang risiko kemungkinan berlakunya banjir seperti ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa persediaan dilakukan termasuk kesiap-siagaan semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk menambah keperluan bot penyelamat.

Iklan
Iklan

"MKN menerusi PDRM memanggil kesemua agensi bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan seperti berlaku di beberapa negeri lain di semenanjung.

"Ramalan meteorologi menjangkakan banjir di Kedah, diharap tidak mengakibatkan banjir besar seperti terjadi di beberapa negeri lain di semenanjung termasuk Selangor dan Pahang," katanya ketika hadir ke Program Kayuhan Santai Keluarga Sejahtera Bersama MB Kedah di Dataran Zero Kilometer di sini, pada Sabtu.

Iklan

Menurut Muhammad Sanusi, pihaknya kini sedang mengusahakan pembelian peralatan penyelamat termasuk permohonan PDRM bagi menambah keperluan bot.

"Kami sedang mengusahakan pembelian 10 buah bot untuk PDRM. Setakat ini, PDRM memiliki 26 bot, tidak termasuk Jabatan Laut, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bomba," ujarnya.

Iklan

Pada masa sama Muhammad Sanusi berkata, rakyat Kedah diminta sentiasa peka terhadap perubahan cuaca, amaran atau peringatan daripada agensi berkaitan sekiranya berlaku hujan lebat atau kenaikan paras air sungai.

"Sekiranya perlu perpindahan, sila ikut arahan untuk selamatkan nyawa," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Muhammad Sanusi berkata, sungai di Kedah masih belum memiliki sistem amaran banjir sekiranya berlaku kenaikan paras air.

"Paras air sungai dikawal selia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan ada sesetengah dikawal oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada). Setakat ini, kita berpandukan kepada paras amaran atau bahaya berdasarkan ketinggian air, di mana bacaan akan sentiasa dikemas kini," katanya.

Berdasarkan kenyataan JMM bertarikh 29 Disember lalu, pada Januari 2022, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak dijangka menerima hujan antara 20 hingga 100 milimeter dan kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan keadaan La Nina sedang berlaku dan dijangka berterusan hingga Mac 2022.