Gerakan mencari OKU hilang masih diteruskan

Iklan
Pasukan STORM JBPM membantu operasi SAR kehilangan seorang lelaki OKU di Batu Kurau. - Foto ihsan JBPM Perak.

LARUT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak giat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran rumahnya di Kampung Sempeneh Cempaka, Batu Kurau di sini, sejak Khamis lalu.

Mohd Ridzuan Zakaria, 26, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme tidak pulang ke rumah selepas melihat kerja-kerja mengorek di Sungai Sempeneh berhampiran.

Iklan
Iklan

Difahamkan mangsa kali terakhir dilihat berada di tepi sungai berkenaan sekitar jam 4 petang dengan memakai baju berwarna gelap dan berseluar pendek.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Ahmad Noor Syamsi Zainoldin berkata, SAR diaktifkan selepas menerima panggilan pada jam 11.20 malam berikutan usaha awal mencari bersama lebih 50 penduduk kampung gagal menemukan lelaki tersebut.

Iklan
Operasi SAR hari ketiga kini tertumpu di bahagian sungai bagi mengesan mangsa yang hilang. Foto ihsan JBPM Perak.

"Gerakan mencari diperluaskan dengan radius empat kilometer di kawasan hutan berkenaan, namun gagal menemukan sebarang petunjuk yang boleh dikaitkan dengan mangsa setakat ini.

"Operasi hari ketiga ini tertumpu di sepanjang sungai sejauh 2 kilometer sehingga ke Kampung Masjid," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.

Iklan

Menurut Ahmad Noor, pihaknya menolak kemungkinan mangsa lemas berikutan keadaan sungai yang cetek.

Katanya, khidmat pasukan elit iaitu Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Multi Skill Team (MUST) dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut membantu dalam operasi itu.

Pasukan STORM dibantu penduduk kampung mengesan lelaki OKU yang hilang sejak Khamis lalu. - Foto ihsan JBPM Perak