31 keluarga di Kampung Londah pindah ke PPS

Iklan
Rokiah yang berkerusi roda dibantu anggota bomba untuk dihantar ke PPS.

TAMPIN - Sebanyak 31 keluarga melibatkan 89 mangsa di Kampung Londah di sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan berterusan sejak Jumaat.

Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Kassim Arippin dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas berkata, pihaknya menerima maklumat air mula naik di kawasan itu sejak jam 5.30 pagi dan operasi memindahkan mangsa bermula jam 11.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Kita telah membuat pemeriksaan di lokasi dan pergi dari rumah ke rumah menasihatkan penduduk supaya mereka berpindah ke PPS kerana dikhuatiri air akan terus naik.

"Mereka telah dipindahkan ke PPS di sebuah dewan dan Sekolah Kebangsaan Londah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, ada sekurang-kurangnya 15 keluarga lagi yang tidak mahu berpindah ke PPS atas alasan risau mahu tinggalkan rumah dan beranggapan air tidak akan naik.

Bomba melakukan operasi memindahkan mangsa di Kampung Londah.

Sehubungan itu beliau menasihatkan penduduk supaya segera berpindah ke PPS kerana dibimbangi air akan terus naik.

Iklan

"Setakat jam 5 petang ini, air sudah mula surut. Tapi kita risau akan naik semula dan pagi tadi (Sabtu) air naik sehingga tiga meter," katanya.

Sementara itu, penduduk Rokiah Sidek, 73, berkata, dia membuat keputusan untuk segera berpindah ke PPS kerana bimbang banjir bertambah buruk.

"Dalam rumah saya masih belum banjir, tapi dekat luar dah tinggi paras pinggang. Risau kalau lambat pindah, lagi susah.

"Rasanya inilah kejadian banjir paling buruk berlaku di sini dan air itu datang dengan cepat," katanya.