KOTA KINABALU - Bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony menolak pelawaan sertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebaliknya kekal dengan pendirian untuk menubuhkan parti baharu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, parti baharu itu sudah ditubuhkan dan akan meneruskan hala tuju politik.
"Terima kasih atas kepercayaan dan pelawaan itu (sertai STAR) tetapi kami sudah tubuhkan parti politik yang akan menjadi landasan untuk kami sama-sama menyumbang kemajuan Sabah.
"Parti baharu ini akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu sebagai respons terhadap Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang mempelawa beliau dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim menyertai parti itu.
Dalam pada itu, Peter mengalu-alukan kesatuan pemimpin Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) dan percaya gabungan parti tempatan akan menjadi pilihan rakyat Sabah seperti yang berlaku dalam pilihan raya di Sarawak baru-baru ini.
"Sebenarnya, usaha kami sekarang juga adalah permulaan dalam menyatukan semua pemimpin KDMR yang selama ini terpisah dengan fahaman politik masing masing.
"Kami akan terus berbincang dapatkan satu solusi penyatuan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik KDMR tetapi semua pemimpin Sabah," ujarnya.
Menurut Peter lagi, sudah tiba masa untuk semua berpadu dan bersama dalam satu gabungan yang fokus kepada kemajuan Sabah.
"Marilah kita berganding bahu, yang lepas itu lepaslah. Fokus kepada kemajuan Sabah. Kita berusaha dan berdoa menerusi `pisompuruan' (kesatuan) Sabah akan maju jaya," katanya.
Pada Rabu lalu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mempelawa Peter dan Juil untuk menyertai STAR selepas kedua-dua ADUN itu mengumumkan keluar daripada Warisan.
Peter memaklumkan akan menubuhkan parti baharu mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.