Mak nyah bogel mungkin alami tekanan perasaan

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang mak nyah yang berjalan dalam keadaan berbogel di pembahagi jalan berhampiran sebuah pusat membeli-belah di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, semalam, dipercayai alami tekanan perasaan.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mak nyah warga Filipina berusia 29 tahun berkenaan dikatakan berlari dan berjalan di lokasi terbabit tanpa seurat benang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, punca sebenar mak nyah berkenaan bertindak demikian masih dalam siasatan.

"Buat masa ini, punca sebenar dia berbogel belum diketahui. Namun, kami tidak menolak kemungkinan dia dalam keadaan tertekan.

Iklan

"Keputusan ujian kesihatannya di hospital mendapati dia bukan seorang yang tidak siuman atau gila.

"Sementara ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Iklan

Mazlan berkata, semakan dokumen perjalanan diri mendapati suspek terbabit kerap datang ke negara ini sebagai pelancong.

"Suspek kini direman selama 14 hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut," katanya.

Tindakan mak nyah itu tular selepas dua video berdurasi 16 dan 44 saat dimuat naik di media sosial sejak petang semalam.

Dalam video yang itu, mak nyah berkenaan dilihat berjalan dan berlari malah turut menari dan cuba melintas jalan di lokasi berkenaan selain memanjat sebuah kereta di lokasi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak nyah kurang siuman jalan bogel