KUALA LUMPUR - Maklumat mengenai pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Kelantan dan Sarawak yang terlibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), akan dimaklumkan Isnin ini (3 Januari).
KPM dalam satu kenyataan pada Sabtu menyatakan, maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat akan dikeluarkan setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.
"KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, KPM memaklumkan pengumuman mengenai ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bawahnya bagi Sesi Persekolahan Penggal 3 2021/2022 sebelum ini adalah melibatkan institusi pendidikan bawah KPM seluruh negara, termasuk Kelantan dan Sarawak.
Hal ini kerana terdapat pertanyaan mengenai pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi Sesi Persekolahan Penggal 3 2021/2022 di Kelantan dan Sarawak yang akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 3 Januari ini.
"Oleh yang demikian, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi negeri Kelantan dan pada 10 Januari 2022 bagi negeri Sarawak.
"Pengoperasian dan kehadiran murid adalah mengikut ketetapan yang telah diumumkan melalui kenyataan media KPM pada 31 Disember 2021.
"Ketetapan ini dibuat setelah mengambil kira kesediaan institusi pendidikan di Kelantan dan Sarawak untuk memulakan pengoperasian mengikut tarikh pembukaan sekolah tersebut,” menurut kenyataan itu lagi. - Bernama