Meminjam dari masa depan lebih tinggi kosnya: Pengarah Ekonomi PM

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pengeluaran wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga merupakan satu konsep pinjaman, walaupun berbeza dari pinjaman dari bank atau institusi kewangan.

Pengarah Ekonomi Perdana Menteri, Shahril Hamdan berkata, perbezaannya ialah KWSP merupakan pinjaman dari masa depan sendiri.

Iklan
Iklan

"Semua maklum bahawa pinjaman dari bank atau institusi seperti Tekun perlu dibayar semula. Dalam kes ini, hanya perlu bayar semula amaun pokok sahaja sebab tiada caj faedah.

"Namun, pengeluaran KWSP juga adalah konsep meminjam iaitu meminjam dari masa depan sendiri. Kosnya ialah lima atau enam peratus setiap tahun, iaitu pendapatan dividen KWSP setiap tahun.

Iklan

"Jika kita keluarkan RM10,000, dalam masa lima tahun sahaja sudah rugi hampir RM3,000 kerana terlepas pendapatan dividen yang dikompaun dari tahun ke tahun.

"Dalam masa 10 tahun, hampir RM7,000 pendapatan yang sepatutnya ada, sudah tiada," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Situasi ini berbeza dengan suntikan dana fiskal seperti BR1M, Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) atau bantuan banjir yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

"Soal sama ada kerajaan patut membenarkan lagi pengeluaran (KWSP) setelah hampir RM20,000 melalui skim-skim sebelum ini sudah dibahaskan dan dijelaskan dari sudut makro.

"Tetapi dari sudut individu itu sendiri yang memerlukan suntikan wang, pada perkiraan secara objektif, lebih untung mengambil pinjaman sifar faedah dan pelihara simpanan KWSP serta pendapatan tahunan itu.

"Atas logik yang sama, ramai orang sanggup ambil pinjaman bank untuk memenuhi akaun Amanah Saham (ASB) kerana lazimnya dividen ASB lebih tinggi dari bayaran faedah pinjaman.

"Dalam hal pinjaman BSN dan Tekun lebih jelas lagi kerana faedah sifar," katanya lagi.

Kerajaan pada Jumaat mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi meringankan beban mereka yang terjejas dalam bencana itu.

Ismail Sabri berkata, lima insentif pemberian tunai disediakan oleh kerajaan yang keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR), malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu alami kemusnahan rumah.

Ia adalah usaha untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP. - Awani