SHAH ALAM - Seorang anggota polis tidak dapat melupakan detik balai polis tempatnya bertugas ditenggelami air sedalam lebih tiga meter dalam bencana banjir pada 18 Disember lalu.
Lans Koperal Fatin Nabillah Abdullah, 28, yang bertugas di Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25, sempat berkongsi pengalamannya sewaktu kunjungan Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters pada Sabtu.
Masih segar di ingatannya bagaimana beliau terpaksa menjawab puluhan panggilan dengan air mula melimpah masuk dan bergenang di pergelangan kaki.
"Kami memang tak sangka air akan naik begitu cepat kerana sebelum ini tak pernah dinaiki air, masa kejadian pun semua anggota termasuk ketua balai keluar untuk membuat pemantauan selepas menerima maklumat beberapa kawasan perumahan di Taman Sri Muda sudah ditenggelami air," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, apa yang paling penting ketika itu adalah senjata api dan dokumen penting.
"Beberapa pucuk pistol yang dipulangkan anggota bertugas perlu dipindahkan segera, jika tidak ia pasti hilang atau hanyut," katanya.
Fatin Nabillah berkata, beliau nekad untuk bertindak cepat selepas dimaklumkan semua anggota yang keluar terperangkap dan tidak dapat balik ke balai semula kerana beberapa jalan sudah ditutup.
Jelasnya, dalam keadaan kelam kabut beliau terpaksa menyelamatkan peralatan penting lain seperti walkie talkie dan komputer.
"Balai polis ini dianggap kawasan selamat di mana ada enam hingga tujuh keluarga yang mempunyai kanak-kanak dan bayi mula datang ke balai untuk berlindung selepas rumah mereka ditenggelami air.
"Mereka ini dibenarkan masuk tapi terpaksa dipindahkan ke tingkat atas balai kerana air sudah naik pada kedalaman satu meter," katanya yang sudah tujuh tahun bertugas di balai polis itu.
Menurutnya, hujan tidak berhenti selama dua hari turut menjadi faktor banjir luar biasa di kawasan berkenaan.
"Kuarters balai ada 16 unit rumah, semua penghuni terperangkap, mujur ada dua anggota iaitu Koperal Fairus dan Koperal Manimaran yang bertugas malam tidak keluar dan masih boleh membantu di balai kerana bekalan elektrik ketika itu sudah terputus disebabkan transfomer elektrik meletup," katanya.
Katanya, selama dua malam penghuni di balai itu hanya makan dan minum sekadar apa yang ada kerana bantuan tiba pada pagi Isnin (20 Disember).