BERADA di penghujung tahun dan memasuki tahun baharu, kita menyaksikan banyak peristiwa menarik dalam kehidupan budaya sastera tanah air yang boleh dikenang.
Zaman pandemik hampir melumpuhkan gerakannya, tetapi banyak persidangan maya dilakukan, yang menunjukkan orang sastera terus aktif, dinamik dan progresif.
Hari-hari kebesaran sastera seperti Hari Puisi dan Hari Gapena, begitu signifikan dan bererti kepada kelangsungan budaya sastera negara.
Di penghujung majlis, biasanya akan ada penerima hadiah sayembara penulisan dan anugerah pemuisi.
Warna warni, adat dan budaya sastera Melayu ini, menjadi petanda kehidupannya yang ghairah dan kaya khalayak.
Istimewanya dalam genre puisi, wujudnya pelbagai persatuan seperti Persatuan Penyair Malaysia, Penyair yang diketuai oleh Rahman Shaari, Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia,
Pemuisi dikendalikan oleh Radzuan Ibrahim, dan banyak lagi badan atau pertubuhan yang menggerakkan bacaan sajak dan apresiasinya.
Persatuan Teater Malaysia diketuai oleh Sakrani Shamsuddin pula, menganjurkan pelbagai pementasan maya dan mengendalikan mono drama dan drama pendek.
Kelazimannya persatuan-persatuan penulis negeri, menganjurkan hadiah sastera di negeri masing-masing. Kemuncaknya diserikan dengan penganugerahan Sasterawan Negeri.
Di peringkat negara juga berjalan proses Hadiah Sastera Perdana, anugerah Sea Write Award dan pemilihan Anugerah Sasterawan Negara.
Pada tahun 2021 ini, Azmah Nordin dinobatkan sebagai penerima ketiga Sasterawan Negeri Sabah.
Rosli K Matari tahun 2021 pula sebagai penerima keempat di Negeri Kelantan. Di Johor penerimanya 2021 ialah Aminah Mokhtar.
Apa yang menariknya anugerah Sasterawan Negeri mempunyai kedudukan yang berprestij. Kesemua penerimanya sudah pun menerima hadiah Sea Write Award.
Azmah Nordin adalah penerima Sea Write Award tahun 2009, dan Aminah Mokhtar 2021.
Objektif utama Anugerah Sasterawan Negeri itu sebagai persediaan mencari sasterawan, bagi dicalonkan untuk pemilihan Anugerah Sastera Negara.
Sebab itu kriteria pemilihannya, juga mengikut sistem yang sama dan paralel mengikut dasar-dasar penilaian Anugerah Sastera Negara.
Pertamanya penilaian terhadap karya sastera, kedua terhadap sumbangan fikiran, dan ketiga kegiatan pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.
Data itu menunjukkan kedudukan Anugerah Sasterawan Negeri itu lebih tinggi berbanding dengan anugerah Sea Write Award.
Penerima Anugerah Sasterawan Negeri lainnya yang telah menerima Sea Write Award ialah A Latiff Mohidin 1984, S Othman Kelantan 1990 dan Zakaria Ali 2003.
Negeri Perak pula setakat ini mempunyai tiga orang Sasterawan Negeri Perak, iaitu Suhaimi Haji Muhammad tahun1987, Mana Sikana 2004 dan Malim Ghazali PK 2014.
Apa pun, manusia yang bernama pengarang akan ternanti-nanti, adakah hadiah untuknya di peringkat negeri, atau hadiah besar di peringkat negara.
Bagaimanapun tidak semua negeri, yang bersedia mengadakan penyampaian hadiah sastera kenegerian. Negeri Johor, Kelantan dan Sabah sudah menjadikannya sebagai rutin.
Negeri saya Perak, sudah kehilangan tradisi Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor, PULARA, dimulakan pada 2010, dan mendapat sambutan daripada khalayak tempatan dan antarabangsa, kerana pengarahnya Malim Ghozali Pk sudah pulang ke negeri abadi.
Sayang! Tiada siapa yang sanggup melakukan kesinambungannya. Entah-entah penyampaian Hadiah Sastera Negeri Perak juga akan menjadi langka.
Anugerah Sastera
Kemeriahan tentu lebih teruja dalam pemilihan Anugerah Sastera Negara. Ada pengarang yang banyak menghasilkan karya bervariasi tetapi sederhana.
Ada yang karyanya agak nipis dan bersahaja tetapi memiliki sifat agung. Yang lain pula sukakan pembaharuan dan kejutan.
Sumbangan fikirannya juga bernas dan pengembangan sastera kebangsaan menjadi medan penulisannya. Ada juga yang spele fikirannya dan tiada inisiatif dalam kegiatan akliahnya.
Semuanya berpotensi menjadi pemenang Anugerah Sastera Negara. Ada sebarisan pengarang yang sedang menunggunya.
Namun lazimnya, hadiah tertinggi sastera di mana pun di dunia ini, termasuk Hadiah Noble Kesusasteraan, diberikan kepada mereka yang telah menunjukkan kematangan, mantap dan unggul.
Bagaimanapun di sana, terdapat pengarang yang tidak mempedulikan tentang hadiah-hadiah sastera itu. Dia terus mengarang dan merasa puas apabila karyanya diterbitkan.
Juga tidak peduli tentang betapa pentingnya kritikan. Tentu sahaja tidak mempedulikan tentang fungsi teori sastera dalam meningkatkan mutu penulisannya.
Tiga buah teori sastera Barat, iaitu teori sastera autobiografi 1995, teori sastera perjalanan 1997 dan teori genre sastera 2013, sudah mula masuk ke dalam khazanah sastera Melayu.
Tokoh-tokoh sejarah dan idola sezaman ditulis perjalanan hidupnya oleh penulis lain, yang dinamakan biografi.
Sementara pengarangnya sendiri menulis sejarah hidupnya dinamakan autobiografi. Kenangan indah dan manis ditulis orang dinamakan sebagai memoir.
Teori sastera perjalanan pengarangnya menghasilkan karya sastera yang merakamkan peristiwa dalam pengembaraan, pelancongan, lawatan, kunjungan, ziarah dan musafir.
Sementara teori genre sastera akan memberi bimbingan, ajaran dan panduan kepada pengarang untuk memilih dan menguasai mana-mana bentuk sastera yang hendak ditulisnya.
Dalam konteks ini teori sastera tempatan pula, telah bertambah dengan kemasukan teori estetika bersepadu ciptaan A. Halim Ali.
Konsep bersepadu petunjuk daripada kejadian manusia pertama Adam AS, yang dicipta secara bersepadu antara unsur fizikal, unsur roh dan unsur keilmuan, yang diberikan oleh ALLAH kepada manusia pertama itu, ditugaskan sebagai khalifah di dunia.
Dengan itu semua teori tempatan, ialah taabudiyah, puitik sastera Melayu, pengkaedahan Melayu, teksdealisme, takmilah, konseptual kata kunci, pemikiran SPB4L dan estetika bersepadu.
Sangat memeranjatkan. Juga kontras. Di tengah-tengah kemeriahan ini, ranah sastera Melayu mutakhir bagaikan dentuman gunung berapi, apabila meletusnya persoalan penciplakan.
Lautan yang sudah lama tenang, tiba-tiba dilanda ombak besar. Bergelombang.
Selamanya plagiarisme sebuah jenayah, malah sebagai perzinahan sastera. Hal ini dilatarkan berlaku pencurian dan penipuan dalam penulisan.
Namun, definisi penciplakan itu, harus jelas dan tuntas, dikhuatiri sifat perulangan itu digerakkan oleh rasa bawah sedar, juga dipolakan oleh rasa kekaguman terhadap idola, lalu seseorang itu terpedaya dan terperangkap kepada pengambilan atau peminjaman.
Sastera Melayu bukan datang daripada budaya itu, meski asal usulnya ialah imitasi dan mimesis seperti diteorikan oleh Aristotle. Penciplak dihinakan oleh sifat moralnya.
Islam sangat berhikmah dan memiliki kecantikannya yang luar biasa, apabila seseorang itu mengakui kesalahannya dan bertaubat, dia akan terpandang sangat mulia.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia