SHAH ALAM - Persatuan Anak Bangsa Johor (PABJ) telah melancarkan Kempen Pemacu Sasaran 1,000 Ahli sebagai inisiatif untuk mengajak lebih ramai anak jati Johor di seluruh Malaysia dan di luar negara menyertai persatuan itu.
Presidennya, Datuk Mohsen Hasbollah berkata, berdasarkan objektif PABJ, barisan kepimpinan beriltizam untuk menarik sekurang-kurangnya 1,000 orang ahli baharu menerusi kempen tersebut.
"Kempen ini diharap dapat menjadi wadah seruan dan tarikan kepada anak bangsa Johor pelbagai kaum di seluruh tanah air bagi menyertai sasaran 1,000 ahli sebelum meneruskan tujuan ke arah mencapai matlamat persatuan.
"Sehingga kini, PABJ sudah berjaya mengumpul seramai 217 ahli dan kempen tersebut diadakan sebagai langkah awal bagi menggiatkan usaha menarik lebih ramai anak Johor menyertai persatuan ini.
"Usaha mencapai sasaran keahlian 1,000 orang merupakan langkah pertama PABJ untuk capai matlamat menjadikannya sebagai sebuah pertubuhan yang aktif dan memberi manfaat kepada semua ahlinya,” katanya dalam majlis perasmian Kempen Pemacu Sasaran 1,000 Ahli PABJ di Sri Bayu Lounge, Bukit Jalil Golf & Country Resort, Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohsen berkata, kempen tersebut juga merupakan sebahagian daripada strategi penjenamaan PABJ sebagai sebuah pertubuhan sosial selain menggalakkan persaudaraan dalam kalangan rakyat kelahiran Johor.
Ujarnya, antara strategi lain yang akan digunakan bagi menyemarakkan penyertaan anak bangsa Johor adalah menerusi medium media sosial bagi menguar-uarkan kewujudan persatuan itu.
"Medium ini juga akan digunakan bagi mempromosikan aktiviti yang dirancang sebelum sesi mesyuarat agung PABJ yang dijadualkan berlangsung pada 26 Mac 2022,” jelas beliau.
PABJ yang telah didaftar dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Johor pada 30 Mei 2021 lalu, ditubuhkan untuk menyatukan perpaduan dan memperkasakan anak bangsa Johor yang berbilang kaum tanpa mengira pangkat, agama serta bangsa.
Kempen turut diperluaskan untuk anak bangsa Johor yang sedang berkhidmat, menjalankan perniagaan dan bermastautin di luar negara.
"Ia juga merupakan hasrat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan penyertaan daripada anak negeri ini yang berada di luar negara,” ujar Mohsen.
Pacu ekonomi
Selain itu, PABJ juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan anak bangsa Johor yang ingin meneroka pelbagai sektor industri dalam usaha memacu ekonomi negeri ke tempat teratas di Malaysia.
"Johor kini berada pada tahap ketiga dalam sektor ekonomi dan langkah seterusnya untuk berada di tempat kedua dan kemudian terus ke tangga nombor satu yang kini diduduki oleh Selangor.
"Ini merupakan hasrat PABJ untuk sama-sama membantu kerajaan negeri Johor mencapai
tahap maju yang mungkin akan mengambil masa lima tahun akan datang,” kata beliau.
Berpegang pada slogan ‘Bangsaku, Masa Depanku’, PABJ telah memperkenalkan tujuh biro yang akan memperkasakan anak bangsa Johor dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, pelancongan, seni dan budaya serta ekonomi dan keusahawanan.
Ia turut melibatkan biro keahlian, multimedia dan komunikasi, sosial, kebajikan dan keagamaan, keselamatan dan kesihatan serta sukan dan rekreasi.
Tambahnya, antara objektif tujuh biro yang diperkenalkan oleh PABJ adalah untuk mewujudkan perkongsian pintar dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta dari segi pendidikan, ekonomi, keusahawanan dan pembangunan.
Beliau berkata, ia juga bertujuan menggalakkan dan membantu ahli yang berpotensi dalam bidang digital ekonomi dan keusahawanan dalam pelbagai bidang untuk terus berkembang.
"Diharapkan penyediaan biro-biro ini juga dapat membangunkan Intelligence Quotient (IQ), Emotional Quotient (EQ), Social Quotient (SQ), Spiritual Quotient (SQ) dan Love Quotient (LQ) dalam kalangan anak Johor bagi mendepani cabaran bermula peringkat prapersekolahan.
"Penekanan ini dibuat untuk membentuk satu akhlak yang baik pada masa hadapan, kita mestilah mengukuhkan peringkat prapersekolahan terlebih dahulu.
"Ketika saya menghadap Sultan Johor, baginda memfokuskan bidang pendidikan untuk melahirkan bangsa yang lebih pintar, berakhlak dan berperwatakan lebih baik pada masa akan datang.
"Hasil kejayaan modul-modul yang disediakan ini, insya-ALLAH kita akan dapat mentransformasikan anak Johor menjadi satu generasi yang lebih baik berbanding sekarang,” katanya.
Penyertaan dalam PABJ terbuka kepada rakyat Johor yang berumur 18 tahun ke atas manakala kategori ahli individu atau biasa adalah tertakhluk kepada mereka yang dilahirkan di Johor dengan yuran pendaftaran dan tahunan yang dikenakan sebanyak RM50.
Bagi ahli korporat, yuran pendaftaran dan tahunan dikenakan sebanyak RM250, manakala pelajar yang ingin mendaftar dikenakan yuran pendaftaran dan kemasukan RM25.
"Sempena kempen ini, ahli dalam kalangan pelajar tidak akan dikenakan sebarang yuran untuk tahun pertama. Mereka dimasukkan secara percuma sepanjang kempen ini berlangsung,” katanya.