Hentikan amalan pemberian ‘duit kopi’

Iklan
Perbuatan memberi 'duit kopi' sepatutnya dielakkan kerana ia permulaan kepada gejala rasuah lebih besar . Gambar kecil dari kiri: Nur Nadzra Natasha, Nabil Fikri, Jesika Berliana

SHAH ALAM - Orang ramai diminta tidak menggunakan alasan ‘tiada duit’ sebagai punca yang mendorong mereka melibatkan diri dalam perbuatan rasuah.

Graduan, Muhammad Nabil Fikri Abu Hassan, 23, berkata, alasan berkenaan sering digunakan seseorang yang memberikan ‘duit kopi’, contohnya kepada anggota penguat kuasa bagi memastikan mereka tidak dikenakan sebarang tindakan seperti saman.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perbuatan tersebut sepatutnya dielakkan kerana ia merupakan permulaan kepada gejala rasuah yang lebih besar selepas itu.

"Memang kita menganggap memberi rasuah dengan duit poket sebanyak RM20 atau RM30 adalah kecil tetapi ia akan menjadi punca kepada rasuah lebih besar sehingga bernilai jutaan ringgit nanti.

Iklan

"Kita harus mendidik diri sendiri sejak dari awal. Jika kena saman, kalau tiada duit, kumpul sedikit-sedikit untuk membayarnya.

"Jangan sesekali cuba suap anggota penguat kuasa dengan rasuah,” katanya kepada kru Rasuah Busters baru-baru ini.

Sementara itu, penjawat awam, Nur Nadzra Natasha Zulkifli, 24, menegaskan, perbuatan memberi ‘duit kopi’ perlu dihentikan sama ada pemberi atau penerima.

Iklan

Jelasnya, perbuatan itu bukan sahaja melibatkan pihak penguat kuasa, malah perlu dielakkan oleh semua golongan masyarakat di negara ini.

"Ramai yang menganggap pihak polis sahaja menerima duit kopi. Sebenarnya ramai juga penguat kuasa lain terlibat. Kalau rasa perbuatan itu adalah rasuah, hentikan. Ia tidak sepatutnya diamalkan.

"Jangan kita menganggap rasuah dan duit kopi itu sebagai upah. Kita perlu tahu membezakan rasuah dan upah,” ujarnya.

Pandangan sama dikongsi oleh pekerja swasta, Jesika Berliana Simatupang, 24, yang berkata, kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima perlu berpendirian lebih tegas sekiranya diminta atau ditawarkan rasuah.

Menurut Jesika, perkara tersebut tidak akan berlaku sekiranya kedua-dua pihak mempunyai pendirian untuk tidak terlibat dalam gejala berkenaan.

"Perkara ini bukan salah orang lain, tetapi salah diri sendiri yang menerima atau memberi. Diri sendiri yang perlu bertegas untuk tidak terlibat.

"Jika ada jati diri, elakkan gejala ini. Risau perkara ini akan menjadi lebih besar dan sukar terkawal,” katanya.