KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah kini sudah melepasi angka 1,000 orang.
Jurucakap Angkatan Pertahan Awam (APM) Sabah melalui kenyataan pada Ahad memaklumkan, sebanyak 15 PPS telah dibuka setakat ini bagi menempatkan seramai 1,249 mangsa membabitkan 432 ketua isi rumah.
Iklan
Iklan
Katanya, mangsa banjir di Kota Marudu semakin bertambah dengan jumlah keseluruhan seramai 1,019 mangsa dan empat lagi PPS turut dibuka pada Ahad iaitu Bangunan Rukun Tetangga Salimandut yang menempatkan 33 mangsa, Dewan Sekolah Menengah (SM) Advent Gihsen (183), Sekolah Rendah Agama (SRA) Damai (14) dan Dewan Longob (143).
"Sementara itu, jumlah bagi tiga PPS sedia ada di Kota Marudu iaitu Dewan SK Teritipan dan Dewan SMK Tandek kekal dengan seramai 251 mangsa dan 253 mangsa manakala di Dewan St Theresa meningkat kepada 142 mangsa.
"Sebuah lagi PPS dibuka di Telupid iaitu Dewan Kampung Bauto menempatkan tiga mangsa dan Pitas daerah terbaru dilanda banjir membabitkan 36 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Salimpodon," katanya.
Katanya lagi, trend semasa keadaan banjir di negeri ini meningkat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 717 mangsa dari lima daerah yang dilanda banjir.