KANGAR - Penutup tahun 2021 menyaksikan negara dikejutkan dengan bencana banjir besar yang melanda Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.
Ribuan kediaman ditenggelami air dan berbelas ribu penduduk yang menjadi mangsa banjir di Shah Alam, Klang, Sepang; Selangor, Jelebu, Negeri Sembilan dan Bentong serta Mentakab di Pahang.
Terpanggil dengan penderitaan dialami oleh mangsa-mangsa banjir di kawasan berkenaan, Penggerak Prihatin Perlis dengan kerjasama Yayasan TZA dan Yayasan Nurani Malaysia, telah menggerakan jentera serta ahli sukarelawan mereka dalam misi bantuan pasca banjir.
Kolaborasi tiga NGO ini membolehkan mereka memberikan bantuan awal dalam bentuk makanan sedia makan dan air bersih kepada beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri-negeri terlibat dengan bencana alam itu.
Dalam pada itu juga, bantuan diteruskan dengan menghantar peralatan asas tempat tidur bagi kegunaan mangsa banjir yang terkesan.
"Hampir 1,500 set merangkumi toto dan bantal yang dikumpulkan di seluruh pelusuk Utara Tanah Air telah dihantar di beberapa PPS yang dikenal pasti.
"Selain itu, kita juga berjaya menyediakan 1,000 unit dapur masak serta 1,000 unit dapur nasi yang disumbangkan kepada mereka yang terkesan akibat banjir," katanya.
Kata Ahmad Ilman, Penggerak Prihatin Perlis akan meneruskan usaha menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.
"Mungkin apabila masalah mangsa banjir di Selangor dan Pahang dapat diselesaikan, kita akan memfokuskan bantuan kepada mereka yang terjejas di Kelantan, Terengganu dan Johor pula.
"Kami akan cuba sedaya upaya membantu pihak kerajaan meringankan beban tugasan agensi-agensi pelaksana dan turut menghulurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir tersebut," ujarnya.
Bantuan Bakul Makanan telah dihantar ke Kampung Ahmad Razali, Semesta Dengkil, Kampung Lembah Jaya, Saujana KLIA, Taman Lestari Mewah dan Kampung Labu Lanjut (Sepang); PPS SRA Bukit Changgang (Kuala Langat); serta Taman Cempaka Sari (Klang Utama).
Manakala set toto, set dapur masak, periuk nasi pula disalurkan ke Taman Mawar (Shah alam); Taman Lestari Mewah (Dengkil), Bukit Changgang (Kuala Langat), Lembah Pantai, Jelebu (Negeri Sembilan); Bentong dan Bentong (Pahang).