JPS laksana langkah hadapi fenomena air pasang besar, banjir

Iklan
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan beberapa langkah persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di sekitar Batu Pahat di Johor bermula Ahad hingga Rabu.

PUTRAJAYA - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan beberapa langkah persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di sekitar Batu Pahat di Johor bermula Ahad hingga Rabu.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, bagi tindakan jangka pendek, ia melibatkan persediaan bagi menghadapi bencana banjir terutamanya di kawasan rendah di Batu Pahat seperti di Parit Johar dan Jalan Sultanah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini termasuk memastikan kesemua enam pintu air kawasan itu berfungsi dengan baik selain memastikan tiada mendapan dan halangan oleh sampah-sarap pada sistem saliran.

"Pihak JPS juga membina halangan menggunakan beg pasir dan melaksanakan penyedutan mendapan di sekitar longkang bawah tanah sekitar Jalan Sultanah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Fenomena air pasang besar besar dijangka berlaku di sekitar Batu Pahat bermula Ahad hingga 5 Januari dan bencana banjir boleh terjadi sekiranya berlaku pertembungan antara air pasang besar dengan air hujan lebat secara serentak, serta boleh mengakibatkan longkang saliran bandar penuh.

Zaini berkata, JPS turut mengambil langkah awal dengan membina benteng tanah sepanjang 200 meter dari Parit Lapis hingga ke Taman Nira pada tahun lalu bagi mengelak limpahan air Sungai Batu Pahat ke kawasan sekitar Taman Nira, Batu Pahat.

Iklan

"Penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan pesisir pantai dan sungai-sungai utama dinasihatkan agar sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini termasuk amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa selain memastikan sistem saliran air berhampiran dengan kediaman sentiasa diselenggara bagi melancarkan pengaliran air,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai status aras air semasa sungai-sungai di seluruh negara, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau menerusi aplikasi MyPublicInfoBanjir. - Bernama