JUARA dunia, Mas Verstappen menyifatkan rakan sepasukannya, Sergio Perez sebagai seorang ‘legenda’ kerana telah membantu kemenangannya pada perlumbaan terakhir Formula Satu (F1) di Abu Dhabi, Disember lalu.
Menurut Verstappen, Perez yang diberikan ‘tugas’ untuk menghalang pergerakan pembantu juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton pada perlumbaan berkenaan telah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik dan seterusnya memastikan kemenangan menjadi milik pasukan Red Bull kali ini.
"Perez telah melakukan tugasnya dengan cemerlang pada perlumbaan tersebut bagi memastikan saya menang dengan selesa.
"Selain mengekang Hamilton, dia juga berjaya ‘memperlahankannya' bagi membuka ruang untuk saya memecut dan seterusnya memenangi perlumbaan berkenaan.
"Oleh itu tidak salah rasanya untuk saya melabelkan Perez sebagai ‘legenda’ atas tindakan cemerlangnya itu,” katanya.
Pada perlumbaan berkenaan, Hamilton dilihat berpeluang mencatatkan kemenangan kelapannya apabila memintas Verstappen sejak pusingan pertama.
Bagaimanapun, Perez kemudiannya dilihat telah banyak menjadi ‘pengacau’ dengan mengganggu pemanduan Hamilton selain berjaya memperlahankan pemandu berasal dari Great Britain itu.
Sementara itu prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner menyifatkan Perez sebagai rakan sepasukan yang hebat buat Verstappen dan perkara itu dilihat bakal membantu mencatatkan lebih banyak kejayaan buat pasukan Red Bull pada musim 2022 ini.
"Setakat ini saya lihat hubungan antara keduanya juga agak bagus dan ini memberikan petanda baik buat kita untuk mengharungi musim yang lebih mencabar kali ini,” katanya.