KPLB segerakan inisiatif bantuan banjir Keluarga Malaysia

Iklan
Sukarelawan KPLB membaiki kediaman mangsa banjir yang rosak di Kampung Setia, Karak, Pahang.

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyegerakan bantuan banjir Keluarga Malaysia berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Perutusan Tahun Baharu 2022.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB bersama lapan agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Felcra Berhad (Felcra) sedia melaksanakan inisiatif bantuan tersebut mengikut peruntukan sedia ada.

Sukarelawan KPLB bergotong-royong membersihkan kawasan dan pembaikan rumah di Kampung Setia, Karak, Pahang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, turut terlibat ialah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

"Dalam fasa pasca banjir ketika ini, KPLB dan semua agensi sedang melaksanakan kerja-kerja penilaian kerosakan yang dialami mangsa.

Iklan

"Selain itu, kita juga sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan melalui lebih 3,000 sukarelawan yang turun padang di Bentong, Hulu Langat dan Banting untuk membantu mangsa banjir," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, sukarelawan terbabit turut membantu membaiki pendawaian dan barangan elektrik di Kawasan Angkat di Bukit Changgang, Banting, Hula Langat dan Kampung Karak Setia, Bentong, Pahang

Iklan

Mengulas lanjut, Mahdzir memberitahu, KPLB turut memperuntukkan sejumlah RM4 juta untuk sumbangan barangan keperluan seperti bakul makanan dan kit pembersihan diri kepada mangsa.

Sukarelawan KPLB membersihkan kediaman serta peralatan rumah mangsa banjir di Kampung Setia, Karak, Pahang

Jelasnya, untuk bantuan baik pulih rumah pula, KPLB menyediakan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi setiap rumah penduduk luar bandar yang layak manakala RM56,000 untuk membina rumah baharu mangsa banjir yang kehilangan kediaman sepenuhnya.

"Lima insentif pemberian tunai disediakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia seperti yang diumumkan Perdana Menteri dengan keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu yang mengalami kemusnahan rumah,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, Mara turut meringankan beban kewangan mangsa banjir dengan memberi kelonggaran penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dan perniagaan selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

"Mara juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan Mara yang terkesan dengan bencana banjir luar biasa yang melanda kali ini.

"Bagi penyewa premis perniagaan Mara pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa,” jelas Mahdzir.

Sukarelawan KPLB bertungkus-lumus memastikan mangsa di Kampung Setia, Karak, Pahang banjir dapat hidup selesa selepas bencana itu.