Manfaat bot tanpa enjin selamatkan barangan, kucing

Iklan
Zaini (kanan) bersama Zakaria ketika ditemui di taman berkenaan pada Ahad.

TAMPIN - Seorang penduduk di Taman Pinggiran Sungai Kelamah,Gemas di sini memanfaatkan sebuah bot tanpa enjin bagi membantu memindahkan barang termasuk menyelamatkan kucing yang terperangkap banjir di kawasan itu.

Penduduk berkenaan, Zaini Ahmad, 53, berkata, bot berkenaan diberikan oleh adiknya tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Zaini, kawasan perumahan ini mula dinaiki air sekitar jam 4.30 pagi Sabtu dan penduduk yang terjejas telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (Felda) Sungai Kelamah.

"Bagaimana pun terdapat kucing peliharaan yang tertinggal serta tidak sempat dibawa bersama. Saya pergi dari lorong ke lorong mencari kucing yang masih terperangkap," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas pada Ahad.

Iklan

Zaini memberitahu, dia menemui kucing yang berada di tingkap, atas pagar dan ada juga cuba menyelamatkan diri di atas objek yang terapung.

"Lebih 50 ekor kucing berjaya diselamatkan. Saya juga memberikan khidmat percuma kepada jiran yang mahu memindahkan barang mereka ke tempat selamat," katanya.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Zakaria Ahlan, 35, yang sudah menetap di taman perumahan itu sejak 10 tahun lalu memberitahu, dalam tempoh tersebut, sebanyak dua kali banjir besar berlaku sehingga menyebabkan banyak barang penduduk rosak.

Katanya, pada pagi air surut tetapi dia bimbang banjir akan menenggelamkan rumah jika hujan kerana air dilihat semakin naik pada tengah hari.

Sementara itu, Muhammad Nur Jamaah Zurimie, 26, hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja manakala barangan elektrik dan kelengkapan rumah lain terpaksa ditinggalkan kerana air naik terlalu cepat.

"Kita sudah bersedia sekitar jam 11 malam lagi kerana hujan berterusan namun sekitar jam 4.30 pagi air tiba-tiba melimpah ke kawasan perumahan malah dalam tempoh kurang sejam, air naik hampir dua meter," katanya.

Sementara itu Sinar Harian difahamkan kira-kira 200 rumah penduduk terjejas akibat banjir itu sejak pagi Sabtu.