GUA MUSANG - Anak pasangan guru berjaya meraih pencapaian keseluruhan A, iaitu 11A dalam ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang diumumkan semalam.
Tiun Xin Ci, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 2, langsung tidak menyangka keputusan semalam terutama kertas Matematik Tambahan apabila berjaya mendapat A sedangkan hanya memperoleh C dalam ujian percubaan.
"Apabila keputusan diumumkan, saya terkejut dan menangis kerana tidak sangka keputusan ini. Inilah yang saya impikan selama ini.
"Saya mahu ke matrikulasi dan seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran di Universiti Putra Malaysia (USM)," katanya.
Bapanya, Tiun Tong Liang, 52, yang juga guru Pengajian Am di SMK Tengku Indera Petra 1 berkata, dia dan isteri, Chong Luing Fung, menyarankan anak-anak menceburi bidang perubatan.
"Anak pertama kami kini berada di Aimst University, Kedah, dalam bidang farmasi dan Xin Ci, pula akan meneruskan pengajian dalam bidang perubatan.
"Saya melihat bidang perubatan mempunyai kelebihan berbanding bidang lain kerana anak-anak boleh berdikari dan berpeluang mendapatkan perniagaan seperti klinik sendiri satu hari nanti," katanya yang berasal dari Wakaf Bharu dan kini menetap di Bandar Utama, di sini.
Selain kecemerlangan Xin Ci yang juga anak kedua dari empat beradik itu, SMK Tengku Indera Petra 2, juga muncul sebagai sekolah terbaik antara lapan sekolah harian.
Pengetuanya, Mohd Anuar Salleh berkata, Xin Ci juga turut memecah rekod 'kemarau' sejak tiga tahun lalu tanpa keputusan keseluruhan A dalam SPM.
Katanya, selain seorang pelajar mendapat keseluruhan A, seramai 18 pelajar yang memperoleh keputusan 5A ke atas.
"Ini adalah kejayaan besar buat sekolah, malah hasil penat jerih guru-guru dalam memastikan pelajar mendapat imbuhan yang cemerlang," katanya.
Bagi menghargai pencapaian cemerlang Xin Ci, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah tersebut turut memberi sumbangan RM1,000 kepadanya.
Yang Dipertuanya, Asharun Uji berkata, sumbangan berkenaan adalah pembakar semangat kepada Xin Ci, dan pelajar-pelajar lain untuk meraih kejayaan.
Selain Xin Ci, seorang lagi pelajar, Noor Ayubee Abd Razak, dari SMK Bandar Chiku, turut mendapat keputusan keseluruhan A dalam SPM.