RANTAU PANJANG -"Ini hadiah saya untuk umi,"
Demikian luahan hati Muhammad Nor Iqmal Kamaruddin, 18, sejurus memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Muhammad Nor Iqmal, berkata, keputusan cemerlang itu merupakan penzahiran terima kasih di atas segala penat jerih yang telah dicurahkan ibunya Che Hasnah Awang Senik, 47, yang merupakan seorang ibu tunggal dan mengambil upah sebagai penoreh getah dalam mendidik dan membesarkannya selama ini.
"Jasa umi dalam mendidik dan membesarkan saya tidak dapat dibalas dengan wang ringgit.
"Hanya keputusan cemerlang dalam SPM sahaja mampu menjadi 'ganti seketika' di atas segala penat lelah yang telah umi taburkan itu," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Uban.
Menurutnya yang merupakan anak bongsu dari empat beradik itu berkata, dia amat bertuah mempunyai ibu yang berhati waja dalam mendidiknya.
Katanya, kepayahan umi mencari rezeki menjadi pembakar semangat kepadanya untuk berjaya dalam SPM dan ingin melanjutkan pengajian ke menara gading seperti kakak dan abangnya.
Muhammad Nor Iqmal berkata, kejayaan cemerlang dalam SPM turut dipacu oleh berkat doa ibu serta amalan membaca al-Quran selepas solat Maghrib sebagaimana pesan ibunya itu.
Sementara itu, Pengetua SMK Tok Uban, Fauzi Yazid berkata, SPM 2018 kali cukup bermakna buat warga SMK Tok Uban apabila berlaku lompatan saujana dalam keputusan kali ini.
Katanya, lebih membanggakan apabila ada seorang calon Muhammad Nor Iqmal memperoleh keputusan 9A.
"Kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil kerjasama utuh antara guru dan para pelajar," katanya.
Menurutnya, kejayaan itu menjadi pemangkin semangat buat SMK Tok Uban untuk terus berjaya pada masa akan datang.