'Penilaian pemain ke Muscat ikut prestasi semasa'

Iklan
Mohd Nasihin

KESEMUA pemain skuad hoki Projek Khas Wanita memiliki peluang terbuka untuk beraksi pada Piala Asia Wanita 2022 di Muscat, Oman dari 21 hingga 28 Januari depan, apabila barisan kejurulatihan memutuskan memilih pemain berdasarkan prestasi semasa.

Ketua jurulatihnya, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, selepas tidak dapat membuat penilaian pemain di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 bulan lepas, sesi pemilihan terbuka diadakan di Stadium Hoki Nasional bermula 8 hingga 16 Januari itu akan menjadi penentu barisan skuad ‘Malaysian Tigress’ ke Muscat.

Iklan
Iklan

Bekas penjaga gol yang mewakili negara pada Olimpik 1996 dan 2000 itu menjelaskan untuk pemain yang baru selesai menjalani proses rehabilitasi selepas mengalami kecederaan seperti penyerang, Hanis Nadiah Onn, turut berpeluang untuk meraih slot ke kejohanan tersebut.

"Daripada 30 pemain mendaftar masuk ke Majlis Sukan Negara (MSN) esok, hanya 20 pemain akan dipilih untuk kempen di Muscat. Semua pemain akan diberikan peluang sama rata,” katanya sambil menambah mereka akan menjalani kuarantin selama lima hari sebelum dibenarkan memulakan latihan.

Iklan

Mohd Nasihin berkata, pemilihan itu terpaksa dijalankan berikutan pihaknya tidak dapat menilai prestasi skuad Malaysian Tigress yang tidak dibenarkan beraksi pada ACT di Donghae, Korea Selatan yang berlangsung pada 5 hingga 11 Disember lepas, berikutan seorang pemain negara disahkan positif Covid-19.

Bukan sahaja tidak dibenarkan beraksi, seluruh pasukan terpaksa menjalani kuarantin kira-kira dua minggu di Donghae dan tujuh hari kuarantin di Kompleks Sukan Kampung Pandan selepas tiba di tanah air.

Iklan

Ditanya mengenai sasaran di Piala Asia, Mohd Nasihin berkata, agak mustahil untuk meletakkan sasaran tinggi kerana anak buahnya tidak menyertai mana-mana perlawanan dalam tempoh dua tahun ini.

Namun, beliau optimis kejohanan itu yang akan disertai pasukan terbaik benua ini, adalah peluang keemasan bagi pasukannya menimba pengalaman berharga untuk meningkatkan kemahiran bagi menghadapi kejohanan lain pada masa akan datang.

"Pemain juga sudah fobia tetapi pada masa yang sama mereka teruja hendak main kejohanan pertama mereka. Harapan saya ialah mereka perlu membuat yang terbaik dengan kepercayaan diberikan pihak kami dan kita ingin mendedahkan mereka ke tahap tertinggi.

"Sekarang kita dalam fasa persediaan prakejohanan (untuk Piala Asia), tumpuan lebih kepada corak permainan dan taktikal. Kita juga akan adakan perlawanan persahabatan bersama tiga atau empat pasukan di sekitar sini," katanya.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah meraih pingat gangsa ketika edisi sulung pada 1985 di Seoul, Korea Selatan, manakala pada edisi 2017 di Kakamigahara, Jepun, skuad ‘Malaysian Tigress’ menamatkan saingan di tempat kelima. - Bernama