SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Bangladesh tular di media sosial setelah video mengenainya yang memperoleh gaji sehingga RM5,000 sebulan sedangkan baru lima tahun bekerja di Malaysia mendapat perhatian orang ramai.
Video berdurasi satu minit 14 saat itu dimuat naik oleh seorang lelaki di akaun TikTok, yang memaparkan seseorang bertanyakan jumlah gaji yang diperoleh warga Bangladesh berkenaan.
Lelaki Bangladesh itu yang dilihat menaiki traktor memaklumkan, gaji yang diperoleh pada bulan lepas berjumlah RM5,400.
"Saya sudah lima tahun bekerja di Malaysia. Bulan lepas, saya dapat gaji RM5,400. Biasanya kalau gaji RM5,000, saya akan hantar ke kampung RM4,500 sebulan,” katanya.
Lelaki Bangladesh yang masih bujang itu turut menunjukkan slip gaji yang diperolehinya setelah diminta menunjukkan bukti.
Berdasarkan komen di TikTok, lelaki Bangladesh itu bekerja sebagai pemandu traktor di Ladang Mawar di Kemaman, Terengganu.
Berdasarkan komen, orang ramai memuji lelaki Bangladesh itu yang menghantar sejumlah besar gajinya ke kampung untuk kegunaan keluarganya.
Kisah lelaki berkenaan juga menarik perhatian warga tempatan yang turut berminat untuk bekerja di ladang, malah ada yang bertanyakan jika ada peluang untuk bekerja di ladang itu.