NSA digesa contohi BAM

Iklan
Pekan

PERSATUAN sukan kebangsaan (NSA) digesa untuk lebih proaktif melahirkan ramai atlet-atlet bertaraf dunia dalam misi untuk menarik lebih banyak penajaan korporat yang akan membantu kantung kewangan persatuan.

Perkara tersebut disuarakan pemerhati sukan tanah air, Dr Pekan Ramli, yang melihat ketiadaan atlet bertaraf dunia menjadi punca syarikat korporat dalam dan luar negara tidak mahu menaja kerana beranggapan tidak akan mendatangkan keuntungan.

Iklan
Iklan

Katanya, ia kerana, budaya penajaan sukan di Malaysia, syarikat korporat lebih tertumpu kepada persatuan yang berjaya melahirkan atlet berkelas dunia berbanding di luar negara yang lebih melihat kepada potensi seseorang atlet itu untuk melangkah lebih jauh.

Justeru tambah beliau, NSA mungkin boleh menjadikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai contoh apabila mendapat pelbagai penajaan daripada pelbagai pihak kerana berjaya melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia.

Iklan

"Saya memahami dilema yang dihadapi persatuan sukan kebangsaan apabila mereka mahu menarik penaja bagi membantu kedudukan kewangan mereka tetapi tidak ada penaja yang mahu menaja mereka.

"Sebab budaya penajaan sukan di Malaysia, syarikat korporat lebih gemar untuk menaja persatuan yang sudah ada reputasi dan nama dan bukannya seperti di luar negara yang akan menaja sekiranya mereka lihat atlet atau persatuan itu ada potensi untuk melangkah lebih jauh.

Iklan

"Sebagai contoh kita boleh lihat BAM, yang mana ketika ini banyak penaja yang mahu menaja persatuan tersebut kerana mereka sentiasa melahirkan pemain-pemain berkelas dunia seperti bekas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei sebelum ini dan terbaru Lee Zii Jia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Dalam pada itu Pekan menyifatkan melahirkan pemain-pemain berkelas dunia sahaja tidak cukup untuk meyakinkan pihak penaja sekiranya persatuan itu tidak memiliki pucuk kepimpinan yang ampuh.

"Kalau diimbas kembali bab penajaan, setiap persatuan sukan kebangsaan dulu ada diberikan rakan sukan masing-masing untuk membantu mereka.

"Tetapi banyak rakan sukan telah menarik diri kerana terdapat dakwaan berlakunya penyelewengan dalam persatuan itu selain tidak mengemukakan laporan yang diperlukan oleh rakan sukan,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kesemua cadangan itu adalah untuk tempoh jangka masa yang panjang, kerana kerajaan masih perlu menyuntik lebih banyak dana terutama dalam persediaan atlet bagi tiga temasya besar tahun ini dan persediaan menghadapi temasya Sukan Olimpik Paris 2024.