BENCANA banjir buruk di beberapa lokasi di Lembah Klang pada 18 Disember lalu menyaksikan banyak pihak seperti kerajaan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan menghulurkan bantuan.
Merak Jalanan tertarik dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilihat secara tidak langsung memperkenalkan partinya yang telah didaftarkan secara rasmi pada 23 Disember lalu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) melalui kerja-kerja kemasyarakatan dan sukarelawan.
Difahamkan, Syed Saddiq menjadi antara pemimpin politik terawal turun ke Taman Sri Muda, Shah Alam bagi misi menyelamat dan membantu mangsa banjir.
Ia bagaikan satu kebetulan di saat Muda didaftar secara rasmi, ahli mereka turun ke kawasan bencana membantu sekali gus memberikan gambaran kepada pengundi khususnya kepada orang muda bahawa inilah bentuk atau pendekatan daripada parti Muda.
Umum mengetahui Undi 18 akan bermula tahun ini dan kebanyakan parti masih mencari formula terbaik menarik sokongan orang muda, namun parti pimpinan Syed Saddiq itu dilihat telah mendapat kelebihan.
Merak Jalanan bukan mahu kata yang parti atau sayap pemuda parti lain tidak turun padang menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir tetapi Muda dirasakan mendapat perhatian lebih daripada orang ramai khususnya golongan muda.
Mungkin kerana faktor Presidennya, Syed Saddiq sendiri atau gerak kerja yang telah disusun mereka dalam soal kerja-kerja sukarelawan membantu mangsa banjir.
Nampaknya, Muda bakal menjadi pencabar kepada parti-parti utama lain di negara ini dan difahamkan juga keahlian mereka semakin bertambah sejak mereka mengumpulkan dana bagi mangsa banjir.