BANJIR di seluruh negara kali ini memberi impak luar biasa kepada negara kerana skalanya yang agak besar malah di Selangor jumlah kematian dicatatkan juga tinggi.
Secara keseluruhan seramai 50 korban banjir direkodkan di seluruh negara berdasarkan pengumuman Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Sabtu.
Menurut beliau, jumlah berkenaan sejak bencana melanda negara 19 Disember lalu sehingga kini dan dua mangsa dilapor masih hilang di Telemong dan Bentong, Pahang.
Dilaporkan juga gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terbabit masih lagi dijalankan sehingga saat ini, tanpa mengenal penat dan cabaran yang datang.
Mudah-mudahan dan Insya-ALLAH, dengan kehendak ALLAH kita sama-sama berdoa usaha berkenaan berhasil dan dua mangsa terbabit dapat ditemukan.
Dalam perkembangan sama namun situasi berbeza, ribuan anggota penyelamat, anggota pihak berkuasa tempatan malah sukarelawan sedang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir terjejas.
Agamawan pula turut memainkan peranan dalam memberi peringatan dan berpesan kepada rakyat bahawa banjir adalah ujian daripada ALLAH untuk mendekatkan manusia denganNYA.
Bagaimanapun, ada juga segelintir pihak yang berpandangan negatif dengan menguar-uarkan banjir bukan peringatan daripada ALLAH, sebaliknya ia adalah natijah perbuatan manusia semata-mata.
Alasan mereka kerana korupsi yang berlaku dalam pemerintahan, salah guna kuasa pegawai bawahan, isu pembalakan haram dan perancangan bandar tidak terkawal menjadi antara punca banjir.
Malah, golongan terbabit bersungguh mahu ramai percaya apa sahaja alasan diberikan pihak didakwa termasuk kerajaan negeri malah kerajaan Persekutuan hanya muslihat untuk menutup kelemahan.
Secara zahirnya, adalah benar interaksi antara manusia dengan alam sekitar secara mampan akan memberikan faedah namun, jika dilakukan secara berlebihan, ia akan mengundang bencana.Takdir
Namun, jangan kita lupa dalam kita sibuk mencari dalang banjir besar yang melanda, semua perkara berlaku tidak pernah terkeluar daripada ketentuan ALLAH.
Menidakkan takdir ALLAH akan menggelincir akidah diri manusia dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membawa manusia kepada kesesatan malah kekufuran.
Bagaimanapun, jangan pula terlalu berserah kepada takdir semata-mata dan tidak cuba menyelesaikan masalah banjir termasuk ancaman bencana alam lain secara telus dan tulus! Tiada sebuah negara di dunia ini kebal daripada bencana alam malah antara negara yang banyak mengalami gempa bumi termasuk negara maju seperti Jepun.
Banjir besar pula kerap melanda Filipina, Thailand, Indonesia, selain China, Florida, Amerika Syarikat (AS) serta Kanada selain banjir sudah menjadi sebagai rutin tahunan di negara kita.
Bencana alam mampu memberi kesan ke atas kehidupan secara langsung seperti kematian dan kerosakan harta benda, termasuk tempat tinggal, kenderaan, ternakan dan hasil pertanian.
Namun, dalam menghadapi musibah, sebagai orang Islam kita juga diajar untuk menerima takdir ALLAH dan dalam masa sama mengambil segala asbab dan faktor bagi menambah baik setiap kekurangan yang wujud.
Renung sebentar, kerinduan mangsa banjir yang kehilangan ahli keluarga ketika tragedi berkenaan berlaku.
Segera ketepikan seketika pegangan politik atau perdebatan yang merugikan sehingga keadaan negara kembali pulih.
Jika mempunyai harta, berikan sumbangan, jika kuat kudrat, daftarkan diri menjadi sukarelawan berikan sokongan moral kepada petugas yang bertungkus-lumus di lokasi banjir serata negara.
Berehatlah untuk seketika dalam berpolitik walaupun di ketika ini ramai yang mengugut tidak akan lagi memilih pemimpin yang suka menangguk di air keruh.
Itu pendirian sendiri dan hak yang menjadi rahsia kita kepada negara apabila tiba pada waktunya, ayuh kita leraikan dahulu kesedihan ini demi Malaysia.
* Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian Selangor/KL