Rindu lambaian Kaabah

Iklan
Penangguhan sementara aktiviti umrah bertujuan memperlahankan penularan varian Omicron Covid-19 dalam negara.

KEPUTUSAN kerajaan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini mendapat reaksi berbeza dalam kalangan rakyat.

Di sebalik kebimbangan dengan penularan varian Omicron Covid-19, timbul rasa kecewa, sayu dan sedih, lebih-lebih lagi bagi mereka yang dijadualkan untuk menunaikan umrah dalam waktu terdekat.

Iklan
Iklan

Apatah lagi dengan penangan Covid-19 sejak dua tahun lalu yang mengehadkan peluang untuk ke Tanah Suci, perkhabaran itu pastinya meruntun hati sesiapa sahaja yang merindui lambaian Kaabah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempunyai alasan terhadap keputusan berkenaan iaitu mengambil kira kebolehjangkitan Omicron adalah lebih besar berbanding varian Delta.

Iklan

Malah, jika denominator kes lebih besar, sudah pasti kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) lebih tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu mengelak sistem kesihatan negara menjadi lumpuh disebabkan varian itu.

Penangguhan sementara aktiviti umrah itu katanya, bertujuan memperlahankan penularan varian Omicron Covid-19 dalam negara kerana berdasarkan data, hampir 78 peratus ‘presumptive’ (jangkaan) Omicron baharu adalah daripada jemaah umrah.

Iklan

Bagaimanapun, keputusan itu tidak dipersetujui oleh Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan merayu KKM tidak membuat keputusan penangguhan secara serta-merta tanpa merujuk kepada persatuan itu terlebih dahulu.

Naib Presiden Haji dan Umrah Bumitra, Shamsulnidza Mudari berkata, Bumitra adalah wakil industri pengendali pelancongan dan umrah yang diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Katanya, tindakan yang perlu diambil bagi membendung penularan Covid-19 terutama varian Omicron yang ketika ini dikatakan menular dalam kalangan jemaah umrah adalah dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham senada dengan pandangan itu dan menyifatkan keputusan tersebut adalah terlalu drastik.

Menurutnya, penangguhan tersebut berisiko memberi kesan yang besar termasuk industri lain seperti penerbangan dan penginapan serta proses yang membabitkan perjalanan jemaah ke tanah suci dengan jumlah keseluruhan kerugian bakal ditanggung semua pengendali umrah sahaja sekitar RM300 juta.