Air pasang besar: Tujuh keluarga dipindahkan di Banting

Iklan
Sekumpulan anggota memindahkan sebuah keluarga di Kampung Kelanang awal pagi Isnin.

SHAH ALAM - Tujuh keluarga dari dua kampung di Banting dipindahkan susulan hujan berterusan serta fenomena air pasang besar sehingga awal pagi Isnin.

Terbaru, sebuah keluarga dari Kampung Kelanang dipindahkan ke Dewan Kampung Kelanang selepas rumah didiami mereka dinaiki air.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3 pagi.

Menurutnya, sekumpulan anggota bertugas bergegas ke tempat kejadian bagi memindahkan keluarga terbabit ke Dewan Kampung Kelanang.

Iklan

"Setakat jam 3 pagi tadi terdapat tujuh keluarga terbabit dalam pemindahan membabitkan 21 mangsa termasuk warga emas dan kanak-kanak.

"Sebuah keluarga berpindah ke Dewan Kampung Kelanang pagi ini manakala enam lagi keluarga di Kampung Sungai Nangka sudah dipindahkan ke Dewan Sri Langat pada jam 7.30 malam pada Ahad malam," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan
Norazam (dua kanan) turut membuat tinjauan di pusat pemindahan.

Beliau berkata, kawasan rendah di dua kampung berkenaan dinaiki air dipercayai berpunca daripada hujan yang berterusan serta fenomena air pasang besar yang melanda.

"Bagaimanapun paras air pada pagi ini (jam 9 pagi) dilihat menunjukkan trend menurun namun kita akan terus melakukan pemantauan di kawasan terlibat," katanya.

Pada Ahad media melaporkan negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia bakal berdepan dengan fenomena air pasang besar bermula 2 hingga 5 Januari 2022.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), antara negeri berisiko termasuk Selangor, khususnya di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Fenomena air pasang besar kali ini bagaimanapun dijangka berskala lebih kecil berbanding fenomena sama melanda November lepas namun, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat.