KSN puji usaha TPA M bawa misi damai ke Mindanao

Iklan
Ismail menyaksikan majlis serah tugas antara TPA M 13 dan 14 di Kem Cotabato, Mindanao.

MINDANAO - Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao (TPA M) mendapat pujian Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar yang menjadi saksi pertukaran pasukan keselamatan negara yang bertugas di wilayah bergolak, Filipina selama setahun.

Ismail sewaktu sesi bertemu dengan warga TPA M 13 dan 14 merakamkan perasaan bangga beliau terhadap pencapaian yang diraih selama setahun penugasan tim 13 dan mengharapkan pencapaian serupa dari tim 14.

Iklan
Iklan

"Meskipun lawatan singkat namun saya dapat menyaksikan sendiri keadaan sebenar di sini.

”Saya dimaklumkan terdapat beberapa insiden kecil berlaku namun ianya bersifat terpencil dan tidak mengganggu proses damai yang telah semakin membuahkan hasil yang positif, tahniah dan syabas diucapkan,” katanya.

Iklan

Selain itu, beliau turut berkesempatan berjumpa dan meluangkan masa makan tengahari bersama beberapa pemimpin tempatan yang terlibat dalam proses damai di wilayah berkenaan.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Manaf dan Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Datuk Suhaimi Mohd Zuki.

Iklan

Seramai 16 pegawai dang anggota TPA M 14 menggantikan TPA M 13 selamat tiba di Subang hari ini selepas setahun bertugas di Mindanao.

Pada sebelah pagi yang sama merupakan penghantaran TPA M 14, diketuai Mej Jen Datuk Ya’acob Samiran yang menggantikan tim ini bagi meneruskan kesinambungan usaha pemantauan gencatan senjata di antara Kerajaan Filipina dengan Moro Islamic Liberation Front (MILF) ke arah mewujudkan keadaan keamanan yang kondusif bagi meneruskan perbincangan perdamaian dan pembangunan di wilayah ini.

Menariknya, penghantaran dan proses serah terima tugas di antara TPA M 13 dengan TPA M 14 yang diadakan di Cotabato ini turut disaksikan Ismail yang melakukan lawatan kerja hanya beberapa minggu selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengadakan lawatan rasmi ke Filipina.

Mahathir dalam lawatan tersebut telah bertemu dengan rakan sejawatannya Presiden Rodrigo Duterte bagi membincangkan pelbagai perkara melibatkan kepentingan bersama kedua-dua negara termasuk hubungan dagangan, ekonomi serta pelaburan terutama berikutan perkembangan positif proses damai di Mindanao.

Beliau juga turut bertemu Pengerusi MILF, Murad Ebrahim merangkap Ketua Menteri Mindanao bagi membincangkan cabaran membangunkan ekonomi selepas perang di Wilayah Autonomi Islam Mindanao Bangsamoro.

Lawatan perdana menteri diikuti dengan tindakan serupa oleh KSN memberi gambaran betapa pentingnya peranan negara selaku negara peneraju kepada Tim Pemantau Antarabangsa yang turut disertai pegawai dan anggota tentera Brunei, Indonesia, Jepun dan EU yang diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Filipina dan MILF dalam menentukan hasrat membawa perdamaian dan kestabilan yang berkekalan di wilayah tersebut.

Hasilnya, beberapa perjanjian damai yang ditandatangani di antara Kerajaan Filipina dan MILF membuktikan bahawa peranan TPA M telah mencapai sasaran dan berjaya mengembalikan kedua-dua pihak yang bertelagah ke meja rundingan.

Peranan TPA M selaku pemantau ketiga sehingga kini telah berjaya menentukan proses damai tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan proses damai.

Penglibatan Malaysia mengetuai Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao (TPA M) bermula pada 10 Oktober 2004 berikutan jemputan daripada Kerajaan Filipina dan MILF.

Misi ini dikendalikan sepenuhnya oleh Markas Angkatan Bersama dan sehingga kini sejumlah 14 tim telah diaturgerakkan menjalani misi di Mindanao.