PASIR GUDANG - Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA) Taman Pasir Putih mendakwa penduduk kawasan itu semakin panik dan hilang haluan mengenai apa yang sedang berlaku.
Pengerusi Penaja BBPIPA, Muhammad Fauzi Rohani berkata, perkara sedang berterusan itu didakwa berpunca akibat kelewatan kerajaan negeri melakukan kawalan penyebaran.
"Kami kesal apabila kerajaan dilihat seperti meminggirkan nasib penduduk di sana, sejak kejadian berlaku pada 7 Mac lalu, kami penduduk masih berada di lokasi itu tanpa sebarang penjelasan lanjut.
"Kita boleh lihat macam-macam kerja kawalan dilakukan di sana, malah sekolah juga ditutup, tetapi kami penduduk tidak mengetahui status terkini keselamatan kami, penduduk sudah panik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Muhammad Fauzi berkata, kebanyakan penduduk akhirnya mengambil inisiatif sendiri untuk berpindah selepas berpandangan tiada jaminan bagi keselamatan keluarga masing-masing.
Namun, katanya, sesetengah penduduk hanya memindahkan anak dan ibu bapa mereka kerana memikirkan keselamatan harta benda yang perlu dipantau.
"Sekiranya semua meninggalkan rumah siapa mahu menjaga harta benda kami kecuali pengumuman darurat bencana diumumkan.
"Malah penduduk kecewa kerana sehingga kini tiada pengumuman yang tepat berkaitan impak bencana yang berlaku," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar pihak bertanggungjawab dapat memberikan jawapan dan jaminan keselamatan penduduk sekiranya mereka terus berada di kawasan itu.
"Kita nak jaminan itu, jika perlu pindah maklumkan bila, dan di mana kerajaan mahu tempatkan kami, ini semua adalah demi keselamatan bersama," katanya.