SHAH ALAM - Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa mengambil alih tanggungjawab dalam menangani krisis pencemaran bahan toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor yang berlaku sejak Khamis lalu.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, insiden tersebut memerlukan mobilisasi segala sumber oleh Kerajaan Pusat kerana tindakan yang lewat akan mengeruhkan keadaan.
"Justeru, saya menyeru pihak MKN mengambil alih tanggungjawab bagi menangani masalah ini.
"Langkah ini bukan sahaja membendung kesan pencemaran sisa toksik daripada merebak ke radius yang lebih luas tetapi, menangani tahap kesihatan dan kelestarian alam sekitar di Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya untuk jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO turut mendesak satu Kertas Putih disediakan dan dibentang di Parlimen pada kadar segera.
"Kertas Putih terbabit adalah untuk menjelaskan bagaimana krisis ini bermula, punca di sebalik kelewatan tindakan kerajaan negeri dan langkah menangani isu itu khususnya di Pasir Gudang dan kawasan sekitar dalam tempoh jangka masa panjang.
"Menerusi penyediaan Kertas Putih, segala ketelusan diperlukan dapat dipersembahkan kepada umum termasuk mengenalpasti kelemahan yang perlu diperbaiki selain mencari individu yang bertanggungjawab dalam menangani krisis ini secara pantas dan berkesan," jelasnya.
Selain itu, katanya, pihak kerajaan juga harus melantik seorang jurucakap khusus bagi menyalurkan segala maklumat yang sahih, tepat dan pantas.
"Sejak gelombang pertama krisis ini berlaku, kerajaan negeri sepatutnya bertindak menyediakan sumber maklumat utama secara konsisten untuk mengelakkan kecelaruan. Didapati pelbagai maklumat tidak tepat telah mendominasi persada media sosial negara," tegasnya.