PUTRAJAYA - Spekulasi tiga menteri bakal gugurkan daripada senarai jemaah kabinet sedang bertiup kencang ketika ini.
Tiga yang disebut-sebut adalah Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Abd Latiff dikatakan gagal memainkan peranan mengkoordinasi penyelamatan dan bantuan semasa bencana banjir buruk melanda Selangor dan Pahang baru-baru ini.
Ia mendorong agensi di bawahnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dikritik teruk oleh rakyat.
Rina yang turut disenaraikan untuk digugurkan selepas terpalit dengan kontroversi ketika membersihkan kawasan banjir selain dikritik memakai kasut tumit tinggi ketika hadir melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kedua-dua mereka adalah menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Selain itu, satu-satunya Menteri UMNO yang turut disebut adalah Halimah yang sebelum ini memberi penjelasan kontroversi kepada ahli Parlimen berhubung agihan peruntukan RM100 juta Unit Transfomasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Memetik laporan portal Suara TV, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara tersebut.
Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada menteri-menteri yang terlibat.