IPOH - Kira-kira 200 petani di Kanthan dan Tanah Hitam, Chemor di sini berharap ada penyelesaian terbaik susulan arahan pengusiran oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PNKP).
Pengerusi Persatuan Petani Moden Chemor, Tan Tean Chee berkata, surat arahan bagi pengosongan tanah berkenaan sudah diterima petani sejak beberapa bulan lalu tetapi tempoh tersebut terlalu singkat sedangkan mereka mengusahakan tanah tersebut lebih 70 tahun.
Menurutnya, jika petani keluar dari kawasan pertanian tersebut, mereka akan kehilangan pendapatan walaupun ditawarkan tanah pertanian baharu sebagai ganti.
"Ketika ini tanah di kawasan kami mampu mengeluarkan hasil sayur dan jagung sebanyak 60 tan metrik. Kami akan hilang sumber pendapatan jika keluar keluar sekarang dan tanah baharu yang ditawarkan tidak sesuai untuk tanaman kontan kerana kawasan berbukit.
"Kawasan sedia ada ini amat sesuai untuk pertanian dan kita sangat berharap kerajaan negeri dapat mengekalkannya sebagai tapak tanaman pertanian kekal," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada sesi dialog bersama Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria di Dewan Orang Ramai Kuala Kuang, Chemor di sini pada Isnin.
Tean Chee ketika sesi dialog itu turut memaklumkan petani bersedia berpindah ke kawasan baharu dicadangkan dengan syarat kegiatan pertanian sedia ada tidak dihentikan selagi hasil kawasan pertanian baharu belum mengeluarkan hasil.
Menurutnya, petani tidak mahu berdepan masalah kehilangan sumber pendapatan kerana tanaman yang diusahakan mengambil tempoh masa tertentu sebelum boleh dijual.
Bagi Pengerusi Persatuan Taniternak Jalan Chemor Changkat Kinding Tanjung Rambutan, Wong Chin Siang pula, masalah dihadapi petani itu perlu ditangani dengan baik supaya kerajaan tidak berdepan dengan krisis makanan.
Menurutnya, isu utama yang perlu ditangani kerajaan ialah kesesuaian kawasan yang dicadangkan untuk tujuan pertanian bagi tanaman kontan.
"Tempat yang mereka cadangkan itu sesuai bagi tanaman ladang kurang memerlukan air tetapi tanaman kontan perlu kawasan air yang mencukupi.
"Jadi kita amat berharap kerajaan dapat menyediakan infrastruktur yang sesuai untuk tanaman kontan bagi menggantikan kawasan sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Razman berkata, kerajaan negeri akan meneliti masalah dibangkitkan petani terutama melibatkan pengeluaran hasil mereka yang akan hilang selepas keluar dari kawasan tersebut.
Menurutnya, kerajaan akan mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu itu dan semua pihak mendapat manfaat.
Beliau berkata, tanah sedia ada merupakan milik PKNP dan ia di luar bidang kuasa Exco menentukan perkara tersebut.
"Tanah itu milik PKNP dan ada badan lain juga yang menentukan. Kemungkinan bagi pihak Exco, kita akan membincangkan tanah ganti dan mungkin boleh dibina satu infrastruktur lain menggantikan hasil yang hilang.
"Kita akan pertimbangkan kawasan pertanian kekal seperti di Cameron Highlands dan bincang jenis pertanian yang sesuai dengan tanah," katanya.
Isu pengusiran petani di Kathan dan Tanah Hitam sebelum ini pernah dibangkitkan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Sidang Dewan Negeri Perak pada Disember lalu.