TUMPAT - Pas Kelantan tidak tergugat dengan langkah kerajaan untuk melaksanakan undi 18 tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Setiausaha Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara itu sudah selari dengan dasar parti yang berteraskan kepada ajaran Islam.
"Bagi Pas yang berpandukan kepada ajaran Islam, undi 18 tahun itu bukan sesuatu yang pelik.
"Hal ini kerana mereka yang sudah baligh (usia 15 tahun) diterima untuk menjadi ahli, dengan kata lain Islam sudah mendahului demokrasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Mek Awey di SPP Taman Kota Warisan Berangan di sini pada Isnin.
Menurutnya, Pas turut menggalakkan ahli-ahlinya untuk mendidik anak mereka bersama parti itu sejak masih kecil lagi.
Beliau berkata, melihat kepada pendekatan yang dibuat ketika ini Pas yakin golongan undi 18 tahun akan bersama-sama parti itu.
Wan Roslan yang juga Exco Belia, Sukan Dan NGO berkata, bagaimanapun dalam politik usaha mendekati pengundi 18 tahun perlu digerakan.
"Kita telah tubuhkan pasukan khas untuk turun padang mendekati golongan berkenaan.
"Gerak kerja sudah digerakan mengikut normal baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah pandemik Covid-19," katanya.
Mengulas mengenai program Stesen Mek Awey, Wan Roslan berkata, pihaknya akan membuka tujuh lagi cawangan dalam usaha menarik lebih ramai anak muda menceburi bidang perniagaan.
Katanya, setakat ini sudah tiga cawangan telah dibuka iaitu Tunjung (Kota Bharu), Tumpat dan Machang.