Lelaki warga India maut ditikam rakan serumah

Iklan
Seorang lelaki warga India maut ditikam dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Happy, Port Dickson awal pagi Isnin. Foto: Ihsan PDRM

PORT DICKSON - Seorang lelaki warga India maut dipercayai akibat ditikam oleh rakan serumahnya dalam pergaduhan di sebuah rumah di Taman Happy, Jalan Pantai Batu 1, di sini pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.30 pagi dan menangkap seorang lelaki warga Pakistan yang juga rakan sekerja mangsa di hadapan rumah tersebut kira-kira jam 2.35 pagi.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal polis mendapati, pada jam 12.30 tengah malam mangsa yang berusia 22 tahun bersama suspek berusia 26 tahun menikmati minuman keras di dalam bilik di bahagian atas (bilik suspek).

"Selepas itu, berlaku pertengkaran mulut sehingga mangsa ditikam dengan sebilah pisau dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian di bahagian dapur di tingkat bawah rumah. Pegawai Perubatan dari Hospital Port Dickson sahkan mangsa meninggal dunia pada jam 1.50 pagi.

"Polis merampas pakaian, telefon bimbit dan sebilah pisau berukuran lebih kurang 30 sentimeter (cm) kepunyaan suspek dipercayai digunakan untuk menikam mangsa," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Iklan

Kata Aidi, dengan penangkapan ke atas suspek, polis berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh kurang 24 jam.

"Suspek bekerja sebagai pekerja am merupakan teman serumah mangsa dan direman selama tujuh hari bermula Isnin. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan," katanya.

Iklan

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan mangsa berasal dari negara India dan bekerja di tempat yang sama dengan suspek serta baru setahun bekerja di Port Dickson.

Proses bedah siasat akan dilakukan pada Selasa jam 10 pagi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.