Dua kali bersih rumah dalam tempoh 24 jam

Iklan
Penduduk setempat Nosimah Naim, 56, mula membersih barangan rumah yang terselamat dari banjir walaupun air masih bertakung di ruang dapur rumahnya ketika tinjauan banjir di Kampung Belimbing Dalam dekat Durian Tunggal hari ini. Foto Bernama

ALOR GAJAH -"Dalam tempoh 24 jam ini, sudah dua kali saya bersihkan rumah sepanjang tiga hari banjir melanda kampung ini," kata Nosimah Naim, 56.

Nosimah, yang tinggal di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini memberitahu, air mulai naik pada Sabtu lepas separas paha dan beliau menyelamatkan barangan seperti perabot dan alat elektrik ke atas meja.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan, sebahagian daripada kelengkapan rumah seperti sofa pula diletakkan di atas jalan selepas memasang khemah bagi meneduhkan barangan tersebut daripada terkena air hujan.

"Sabtu lalu, air mulai naik kira-kira jam 10 pagi. Selepas memindahkan barangan ke tempat selamat saya kemudiannya mendaftarkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam yang terletak berdekatan rumah.

Iklan

"Pagi semalam, saya dimaklumkan air mulai surut dan memutuskan untuk mengemaskan rumah namun tak sangka air naik kembali pada jam 3 pagi tadi separas lutut," katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Isnin.

Suri rumah itu menjelaskan, beliau terpaksa memindahkan kembali kelengkapan rumah yang telah dikemaskan semalam ke tempat tinggi untuk kali kedua.

Iklan

"Inilah yang dilalui penduduk Kampung Belimbing setiap kali hujan. Sepanjang enam bulan lepas, sudah empat kali kampung ini dinaiki air termasuklah yang terbaru pada Sabtu lalu," katanya.

Sementara itu, penternak lembu dan kerbau Mohamad Noor Abdul Rahman, 43, memberitahu, air yang kembali naik pada awal pagi tadi dipercayai dari Tampin, Negeri Sembilan yang mula masuk ke Sungai Melaka.

"Saya mula tinggal di kampung ini sejak 2010 dan memang tiap-tiap tahun dilanda banjir, tapi kali ini lebih besar daripada tahun-tahun sebelumnya. Tak pernah air naik dua kali dalam tempoh 24 jam seperti kali ini.

"Saya berharap agar pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah banjir di kampung ini. Risau juga jika banjir lebih besar berlaku dan saya tak sempat nak selamatkan 20 ekor lembu dan 40 ekor kerbau yang mula diternak sejak tahun 2000," katanya.-- Bernama